SUSULAN kejayaan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang melakar sejarah di bumi Amerika Syarikat apabila mencipta rekod kebangsaan dalam acara 60 meter (m) dalam dewan, ianya menarik perhatian ramai pemerhati sukan yang memberikan komentar positif atas persembahan yang dipamerkan anak muda berusia 19 tahun itu.

Pemerhati Sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli turut tidak ketinggalan dalam memberikan pandangan terhadap prestasi menakjubkan yang dipamerkan Azeem dalam Kejohanan Texas Tech Open & Multi di Texas.

“Walaupun kita jarang mengambil kira pencapaian untuk acara pecut 60 meter ini, tetapi keupayaan Azeem dengan masa 6.65 saat mengatasi rekod Watson sejak 1999 itu memberi kita satu gambaran baik untuk kemajuan pelari pecut muda kita itu.

“Secara tidak langsung pencapaian itu kita harapkan dapat dipertingkatkan oleh Azeem untuk mencatat masa di bawah 6.50 saat agar dia mampu menjadi harapan kita untuk berlari di bawah masa 10 saat,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Pekan turut berharap agar lebih ramai pelari pecut berjiwa besar seperti Azeem Fahmi dapat dilahirkan bagi meletakkan Malaysia menjadi sebuah kuasa dalam sukan olahraga.

“Ya, kita memang perlukan lebih ramai lagi pelari pecut yg berbakat seperti Azeem untuk kita melahirkan pelari yg mampu mencatat masa di bawah 10 saat di peringkat Asia Tenggara dan sekaligus kita juga akan menguasai acara 200 meter dan 4 x 100 meter. Lagi ramai lagi baik untuk pasukan kita melakar sejarah baru olahraga negara kita,” tambah Dr. Pekan.

ARTIKEL BERKAITAN : Azeem Fahmi cipta rekod baharu 6.63 saat!

Bagaimanapun, beliau menyeru peminat serta media bersederhana dalam memberi pujian kepada pelari pecut tersebut kerana dikhuatiri ‘lupa diri’ suatu hari nanti.

Beliau percaya perjalanan Azeem masih jauh dan masih ada masa untuk meraih pencapaian yang lebih besar bagi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Ini yang merisaukan saya juga, kita takut atlet itu nanti mudah tenggelam dlm pujian. Tambahan pula makin ramai peminat dan pengaruh sosial media yang begitu kuat sekarang ini.

“Justeru saya berharap media dan juga peminat agak bersederhana dalam hal ini. Memang Azeem layak pujian tetapi ada pencapaian yang lebih besar yang kita nantikan dari Azeem sebenarnya,” katanya.