BARU-BARU ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melancarkan fasa kedua Pelan Strategik F:30 FAM bagi tahun 2023-2026 di Hotel Dorsett Grand, Subang Jaya.

Perkara ini telah disambut baik oleh pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang menganggap pihak FAM sebagai sebuah persatuan sukan kebangsaan yang jelas dalam melaksanakan visi misi serta hala tuju skuadnya.

Menurut Pekan, peningkatan dalam kedudukan tangga Harimau Malaya yang berada di bawah kendalian Kim Pan-gon juga merupakan satu proses kecemerlangan yang telah dicapai pada fasa pertama F:30.

“Saya juga tidak melihat sebarang masalah besar dalam aspek pengurusan dan perjalanan liga pada fasa pertama F:30 iaitu pada tahun 2019-2022.

“Oleh itu, saya bangga dengan pihak FAM kerana berani bersikap telus dalam projek F:30 ini sejurus meneruskan fasa kedua walaupun mungkin banyak kerisauan terhadap keyakinan atas kejayaan yang bakal dicapai.

“Bagi saya, fasa kedua ini merupakan satu ujian sebenar kepada projek F:30 FAM kerana ia satu garis masa yang sangat kritikal buat FAM untuk merealisasikan impian menguasai bola sepak Asia,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Tegas beliau, kejayaan mahupun kemampuan yang dapat dicapai pada tempoh kritikal ini merupakan gambaran awal buat FAM sama ada akan meneruskan projek F:30 di fasa ketiga atau sebaliknya.

“Apapun saya ingin mengucapkan syabas kepada FAM atas pelancaran fasa kedua Pelan Strategik F:30 ini dan mungkin aspek modal insan yang boleh dikaitkan dengan isu gaji pemain itu pihak FAM dapat membuat sesuatu pendekatan yang lebih serius supaya tidak menjejaskan kelangsungan projek fasa kedua ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : F:30 Fasa 2 tumpu Penumbuhan Permainan, Pengembangan Jenama dan Memperkasa Organisasi