SESUATU yang unik ada pada pasukan Liga Simpanan Bawah (B-23) Penang FC apabila dua adik kepada pemain legenda dan popular negara ditandatangani untuk memperkuatkan pasukan.

Ahmad Haziq Kutty Abba adalah adik kepada pemain tengah bertahan Johor Darul Ta’zim, Syamer Kutty Abba yang bakal mengisi posisi penyerang skuad simpanan Harimau Kumbang ini.

Seorang lagi pemain muda berbakat yang dibawa masuk adalah Nor Shahmi Irfan Talaha, adik kepada penyerang legenda negara Nor Shahrul Idlam Talaha yang akan mengisi posisi tengah.

 

Pengendali pasukan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli jelas gembira dengan kehadiran dua pemain muda ini yang padanya adalah bintang dalam pembikinan dan mempunyai potensi untuk berjaya seperti abang mereka.

Akmal juga berasa bertuah kerana berjaya mendapatkan khidmat mereka dan mahu menggilap bakat kedua-dua pemain ini untuk dipersiapkan ke Liga Super.

“Kedua-dua pemain ini ada keistimewaan masing-masing dan bagus di posisi mereka. Saya juga percaya mereka boleh pergi jauh seperti abang-abang mereka kerana mereka cukup berbakat.

“Saya rasa bertuah kerana mereka ada bersama pasukan saya tahun ini dan akan menggilap bakat mereka untuk menjadikan mereka pemain yang bersedia untuk ke Liga Super dalam tempoh dua tahun lagi dan berharap pasukan Penang akan mengekalkan mereka untuk tempoh yang lama,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Haziq pula berkata pasti ada tekanan apabila dia akan dibandingkan dengan abangnya tetapi pada masa yang sama dia berterima kasih kepada Syamer yang banyak beri inspirasi kepadanya untuk menjadi pemain bola sepak yang lebih baik.

Pemain berusia 19 tahun itu juga berterima kasih kepada Akmal Rizal kerana percaya akan bakatnya untuk mewakili skuad B-23 dan berjanji untuk memberikan yang terbaik dan bersedia untuk menarik perhatian Ketua Jurulatih B-23 tahun negara, E. Elavarasan dan mengikut jejak langkah abangnya mewakili skuad kebangsaan.

Sementara itu Shahmi Irfan juga menganggap perbandingan dengan abangnya pasti akan memberikan tekanan buatnya tetapi dia akan menjadikannya sebagai cabaran dalam karier bola sepaknya.

Dia juga mengakui perlu bekerja keras untuk merebut posisinya dan akan lakukan yang terbaik jika diberikan peluang beraksi oleh Akmal serta mahu memastikan dirinya mendapat perhatian E. Elavarasan agar dapat menempatkan diri dalam skuad B23 tahun kebangsaan.

Pasukan Liga Simpanan B-23 Penang FC sudah memulakan latihan dan akan menghadapi perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Simpanan B-23 Kedah FC pada Jumaat.