HARIMAU Malaya sedia untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan pada Oktober ini, termasuk satu pertemuan dengan pasukan dari Oceania yang masih belum diumumkan secara rasmi.
Aksi ini dijangka akan menguji kekuatan skuad kebangsaan di bawah kendalian Pau Marti Vicente sekali gus menjadi ujian besar buat skuad negara menentang pasukan yang menduduki ranking lebih tinggi dalam senarai FIFA.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa Harimau Malaya akan mengadakan aksi persahabatan menentang New Zealand di Auckland pada 14 Oktober 2024,” menurut kenyataan rasmi FAM.
Selain perlawanan dengan New Zealand, difahamkan Harimau Malaya mungkin akan terus beraksi di rantau Oceania untuk satu lagi perlawanan persahabatan.
Namun setakat ini, belum ada pengumuman rasmi mengenai pasukan yang akan menjadi lawan kedua Malaysia. FAM pastinya sedang berusaha mengatur perlawanan kedua dalam tempoh Kalendar Antarabangsa FIFA.
Beberapa negara dari Oceania yang dijangka menjadi pilihan, antaranya Solomon Islands di ranking ke-144, Fiji (150), Tahiti (158), New Caledonia (160), Vanuatu (162), Papua New Guinea (168), dan Samoa (185).
Berdasarkan ranking berbeza oleh pasukan-pasukan berkenaan, pastinya ia akan memberi cabaran hebat buat skuad Harimau Malaya dalam tempoh untuk mengasah kemampuan pemain yang dibawa.
Untuk rekod, pertemuan terakhir Malaysia dengan pasukan dari Oceania adalah pada Jun 2023, dimana Harimau Malaya berjaya mencatat kemenangan besar, menewaskan Solomon Islands 4-1 dan Papua New Guinea 10-0.