DUA atlet olahraga kebangsaan, Queenie Ting dan Umar Osman kini tidak perlu lagi memikirkan tentang perbelanjaan barangan latihan dan kejohanan apabila mendapat tajaan daripada salah satu jenama barangan sukan antarabangsa terkemuka.
Turut mendapat tajaan yang sama adalah pelari maraton negara, Haziq Hamzah yang gembira apabila berjaya menarik minat penaja untuk membantunya mendapatkan kasut yang sesuai sekaligus dapat membantunya mencatatkan masa peribadi terbaik.
Dalam satu majlis menandatangani kontrak di ibu negara pada Selasa, ketiga-tiga atlet itu nyata gembira kerana mereka kini hanya boleh fokus kepada latihan untuk memecah rekod kebangsaan.
Queenie, ratu lempar cakera negara berkata sebelum ini dia perlu membelanjakan lebih dari RM2,000 untuk membeli barangan kelengkapan bagi latihan serta kejohanan dan dia bersyukur kerana mendapat tajaan dan mahu lebih fokus untuk memecahkan rekod kebangsaan 52.77 meter miliknya.
Perkara yang sama turut dinyatakan pelari 400 meter, Umar Osman yang berharap dengan penajaan ini, dia mampu meningkatkan prestasi dan dia kini sedang bersedia untuk menjalani ujian kemasukan ke Universiti Auburn, Amerika Syarikat bagi melanjutkan pengajian dan juga latihan.
Bagi pelari maraton bebas kebangsaan, Haziq Hamzah pula yang sudah berlari selama 10 tahun menganggap penajaan ini sebagai tanda sokongan yang penuh buat dirinya dan tidak menyangka dia akan mendapat peluang keemasan ini dan dia mahu menggunakan kelengkapan ini sebagai semangat untuk memperbaharui rekod peribadinya 2 jam 42 minit.
Bagi pihak penaja pula, mereka mahukan jenama mereka dibawa oleh atlet-atlet berkelas dunia serta mahu memberikan kelengkapan yang sesuai buat atlet agar mereka dapat meningkatkan prestasi sekaligus mengharumkan nama negara.
Queenie dan Umar kini dalam tempoh ‘off season‘ dan akan kembali berlatih di bawah jurulatih yang sama tahun hadapan manakala Haziq pula akan cuba memecah rekod peribadinya di Maraton Jambatan Pulau Pinang pada Disember.