DUA sahabat karib yang baharu sahaja mendapat gelaran Datuk, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh bakal beradu taktikal apabila Penang FC melayan kunjungan Sri Pahang FC di Stadium Bandaraya pada Khamis
Penang FC yang kini ditangga terbawah liga pastinya mahukan kemenangan di laman sendiri bagi memulihkan semula keyakinan para penyokong kepada skuad Harimau Kumbang selepas tewas lima perlawanan liga berturut-turut.
Selain itu, Zainal yang dikekalkan sebagai Ketua Jurulatih untuk musim hadapan masih optimis barisannya mampu mengelak tempat terakhir liga dan layak ke Piala Malaysia.
Penang FC perlu memperbaiki barisan pertahanan dan barisan serangan yang diketuai Lucas Silva memerlukan lebih bantuan dari barisan tengah untuk menjaringkan gol.
Sri Pahang pula yang seakan-akan mendapat tonik tambahan hasil magis Dollah sedang dalam prestasi terbaik dengan mengumpul 10 mata dari empat perlawanan terakhir.
Dua gol pada minit-minit akhir perlawanan ketika terikat dengan Melaka United nyata memberikan rasa tidak percaya kepada Dollah mengenai prestasi pasukannya yang berubah 360 darjah sejak dia mengambil alih kerusi jurulatih.
Penyerang import, Steven Rodriguez yang telah menjaringkan lima gol perlu diberikan perhatian oleh pemain pertahanan Penang FC jika tidak mahu pulang dengan tangan kosong.
Gandingan Kevin Ingreso dan Azam Azih dilihat semakin baik dan konsistensi yang ditunjukkan kedua-dua pemain ini pastinya ditagih Dollah untuk memastikan Sri Pahang meneruskan rentak cemerlang.
Kedudukan Harimau Kumbang tidak akan berubah meskipun jika berjaya meraih tiga mata namun ia akan merapatkan kedudukan dengan pasukan ditangga kesebelas dalam liga.
Sri Pahang pula mampu melonjak ketangga keempat sekiranya mencatat kemenangan dan kembali bersaing bersama enam lagi pasukan di kelompok pertengahan liga.