PEREBUTAN kerusi panas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dengan pemilihan yang akan dilakukan pada September ini dilihat telah menarik minat dua figura politik tempatan untuk bertanding jawatan itu.
KLFA yang sebelum ini diterajui mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad terpalit dengan pelbagai kontroversi termasuk masalah pembayaran gaji dan dokumentasi yang melibatkan kelab naungan, Kuala Lumpur City FC.
Khalid bagaimanapun sudah meletakkan jawatannya pada Mac 2024 kerana sedar kehadirannya dalam persatuan itu tidak disenangi beberapa pihak hingga menjejaskan kedudukan kewangan persatuan dan kelab.
Menjelang kongres pada 7 September 2024, salah seorang figura politik, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menawarkan diri untuk bertanding sebagai presiden dengan Pengarah KL United Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar sebagai calon timbalan presiden KLFA.
@fahmi.fadzil Saya dengan ini mengumumkan ingin menawarkan diri sebagai calon Presiden KLFA. Harapan besar saya ialah ingin memartabatkan kelab-kelab gabungan dan memastikan KLFA diuruskan dengan lebih baik serta lebih mapan supaya bolasepak di Kuala Lumpur lebih maju. Kuala Lumpur Sampai Mati! #fahmifadzil #KualaLumpurSampaiMati
Fahmi yang membuat pengumuman itu menerusi akaun Tiktok rasminya turut mencalonkan jawatan naib presiden KLFA kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin serta Datuk Mohd Razlan Rafii yang merangkap Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Turut sama dalam membida jawatan presiden adalah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut mengumumkan barisan exconya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman X rasminya.
Bersama untuk KLFA #sampaimatikualalumpur pic.twitter.com/t86fc866R8
— 🇲🇾 Nik Nazmi (@niknazmi) August 25, 2024
Antara nama yang dicalonkan adalah Penasihat Setiawangsa Rangers, Datuk Azril Mat Drus dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan yang dicadangkan untuk jawatan Timbalan Presiden.
Manakala Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, Senator Datuk Hisamudin Yahya, Mohamad Hamim dan Datuk Sham Shamrat Sen Gupta pula dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden.
Turut diletakkan dalam senarai adalah Setiausaha Agung KLFA terkini, Nokman Mustaffa pula mengetuai senarai beberapa lagi tokoh termasuk bekas penjaga gol kebangsaan wanita Nur Izwani Azman.
Jawatan Presiden KLFA ketika ini dipangku Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid selepas Khalid Samad mengundur diri pada awal tahun ini.