FOTO : KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC memanfaat sepenuhnya aksi di laman sendiri dengan membenam Perak FC 3-0 aksi pusingan kedua Liga Super 2023 sebentar tadi.

Pada aksi di Alor Setar, Kedah yang beraksi tanpa sentuhan taktikal Nafuzi Zain dan jeneral tengah, Manuel Ott gara-gara menjalani hukuman penggantungan tidak kekok mengawal permainan sepanjang 45 masa pertama.

Dominasi Sang Kenari bermula sebaik wisel pertama dibunyikan. Mendahului menerusi jaringan Amirbek Juraboev pada minit ke-26, tiada langsung serangan lawan tepat ke kubu tuan rumah sehinggalah menuju ke penghujung babak.

Satu-satunya peluang keemasan Perak hadir apabila berjaya menjaringkan gol tetapi tolakan masuk bola oleh awang import Nigeria, Sunday Afolabi tidak disahkan kerana rempuhan deras ke atas penjaga gawang, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Bersambung babak kedua, KDA FC memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan Mior Dani Armin, Fayadh Zulkifli dan Jonathan Balotelli.

Stadium Darul Aman yang dihadiri kira-kira 7,300 penonton kembali bergema apabila Amirbek menggandakan kedudukan m-54 dengan tandukan menggegar jaring pelawat untuk menghukum kelonggaran barisan anak buah Yusri Che Lah.

Ketajaman Kedah seakan gagal dibendung dengan amaran daripada rembatan Manuel Hidalgo ditepis keluar T Shaheeswaran m-66. Seminit selepas itu, sepakan sudut diambil Lee Tuck singgah tepat di kepala Willian Lira untuk gol ketiga.

Siuuu! Siuuu! Gaya keraian Lira selepas menyumbat gol ketiga KDA FC.

Ini adalah kemenangan kesembilan Kedah pada saingan liga musim ini selepas segar menewaskan Sabah FC, lima hari lepas.

Keputusan tersebut bagaimanapun menyaksikan Kedah kekal di tangga ketiga dengan 28 mata manakala Perak meraih sembilan mata selepas mengharungi 14 perlawanan musim ini.