FOTO : Kelantan United Football Club

KELANTAN United FC menandatangani dua pemain import dari Korea Selatan dalam usaha memperkuatkan pasukan pada baki saingan Liga Malaysia untuk musim 2023.

Kehadiran dua pemain import itu akan menjadi nilai tambah yang cukup baik buat kelab berpangkalan di Kota Bharu itu untuk kembali memberi saingan kepada pasukan pencabar lain seterusnya memperbaiki kedudukan mereka dalam carta Liga Malaysia.

Kim Min Kyu, 22, beraksi di posisi sayap kiri serta kanan, dibawa masuk dari kelab Liga K4 Korea Selatan, Pyeongtaek Citizen FC.

Manakala, bekas pemain kelab Thai League 3, Saraburi United FC, Kim Deok, 21, bakal mengemudi posisi pertahanan.

“Kedua-dua pemain telah menyertai sesi percubaan bersama pemain lain sejak minggu lepas. Mereka mempamerkan corak permainan yang baik serta dilihat mampu memberi sumbangan kepada kelab dan pasukan.

“Pihak Kelantan United FC yakin dua pemain ini akan menjadi pemain yang sangat penting kepada kelab selain dijangka dapat meletakkan pasukan kembali ke landasan sebenar bagi mengharungi baki perlawanan Liga Malaysia pada musim ini,” kata Pengarah Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz dalam kenyataan kelab itu pada Selasa.

Shahril turun menjalani sesi latihan bersama KUFC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Terdahulu. KUFC turut menyambar bekas import Kelantan FC, Ismaheel Akinade dan penjaga gol Kedah FC, Shahril Sa’ari.

Pasukan Kijang Hijau kini menduduki tangga kedua tercorot dengan 11 kekalahan, tiga seri dan hanya satu kemenangan dalam 15 perlawanan.