WAKIL Singapura, Tampines Rovers FC mengharapkan pasukan mereka fokus dan mampu bersaing lebih jauh bagi saingan Kumpulan H Piala AFC 2022 yang bakal membuka tirainya pada 24 Jun ini.
Pengendalinya, Gavin Lee mahu memastikan para pemainnya mempunyai misi selari dengan objektif kelab yang sentiasa mahu layak ke Piala AFC dan memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.
Jurulatih yang sudah bersama pasukan sejak 2019 ini juga mahu menyaksikan perlawanan lawan mereka secara langsung bagi membuktikan analsis taktikal yang dilakukannya bertepatan sebelum turun menentang mereka.
“Segala persiapan berlangsung dengan baik. Kami baharu sahaja meraih kemenangan dalam liga fan dan ianya memberikan suasana positif dalam pasukan. Kami semua teruja dan mempunyai sesi latihan yang lancar dan kini sudah bersedia untuk turun menentang PSM Makassar Isnin ini.
“Sasaran kami adalah sentiasa mahu melepasi peringkat kumpulan. Kami terlepas pada 2019 hanya kerana perbezaan jaringan dan musim 2020 dibatalkan kerana penularan pandemik Covid-19 dan tahun ini kami mahu lakukan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” jelasnya ketika ditemui pada sesi latihan rasmi, Rabu.
Dalam pada itu, Gavin enggan mengulas mengenai sebarang isu padang di Kuala Lumpur.
“Keadaan padang semestinya berbeza berbanding di Singapura tetapi ini adalah normal apabila anda bermain di tempat lain. Ini semua adalah faktor luaran yang diluar kawalan kami. Apa yang penting kami hanya fokus kepada perkara yang mampu kami kawal iaitu persembahan keseluruhan kami.
“Benarkan saya menonton perlawanan PSM Makassar secara langsung dahulu untuk memastikan ianya menepati analisis taktikal yang kami lakukan berdasarkan persembahan mereka di Piala Presiden sebelum kami menentukan corak permainan kami,” ujarnya.
Tampines Rovers mempunyai kelebihan awal apabila dapat menyaksikan terlebih dahulu aksi Kuala Lumpur City dan PSM Makassar namun akan berdepan masa yang suntuk apabila turun berdepan Kuala Lumpur City pada 30 Jun nanti.