DUA jaringan Cristiano Ronaldo membantu Portugal benam Switzerland 4-0 dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah yang berlangsung di Estadio Jose Alvalade awal pagi Isnin.
Sementara itu, dua jaringan lain diperoleh skuad kendalian Fernando Santos menerusi William Carvalho dan Joao Cancelo.
Jota dan Bernardo Silva masing-masing merupakan perancang terbaik pasukan apabila kelibatnya dilihat banyak membantu jentera serangan yang dipimpin Ronaldo dan Cancelo.
Aksi kedua-dua pasukan itu berlangsung rancak dengan serangan bertali arus dipamerkan kedua-dua pasukan namun kawalan bola sedikit memihak Portugal dengan 55%.
Formasi 4-3-3 yang diturunkan Santos jelas berkesan apabila berjaya menjaringkan empat gol manakala Switzerland kelihatan sedikit longgar di benteng pertahanan meskipun beraksi dengan formasi 4-2-3-1 dengan hanya meletakkan Seferovic sebagai penyerang tunggal di bahagian hadapan.
Keputusan itu menyaksikan Portugal selesa di takhta Liga A2 dengan 4 mata sambil diekori rapat Czech Republic di tempat kedua.
Portugal dilihat mempunyai peluang terbaik menyamai rekod merangkul kejuaraan Liga Negara-Negara Eropah pada 2019 apabila bermula dengan langkah kanan.