Ketika FLASH SUKAN sedang menunggu ketibaan pemain Harimau Malaya di Stadium Perbandaran Taipei, mata kami tertancap kepada gelagat dua orang penyokong Chinese Taipei yang turut berada di luar stadium.
Apa yang menarik, dua sahabat itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lee dan Wan memegang jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) edisi 2015 ketika Harimau Selatan muncul juara Piala AFC dan melambai-lambai kepada bas yang membawa pemain Harimau Malaya.
Kami menghampiri mereka dan berbual ringkas mengenai mengapa mereka menyukai JDT dan siapakah pemain kegemaran yang ditunggu untuk mendapatkan tandatangan.
“Kami sudah mengenali JDT sejak 2015 di mana ketika itu kami berada di Hong Kong dengan Harimau Selatan bertemu Kitchee dan South China. Sejak dari detik kemenangan di Hong Kong dan layak ke final, kami mula suka dengan JDT.
“Kini kami di Taiwan dan kami gelarkan diri kami penyokong JDT di Taiwan dan pemain kegemaran kami adalah Arif Aiman kerana dia adalah seorang pemain muda yang sangat baik dan berkualiti.
“Sangat teruja apabila kami berpeluang untuk melihat sendiri aksi Arif di depan mata dengan walaupun dia akan menjadi musuh kami selama 90 minit tetapi keterujaan mengatasi segalanya,” katanya yang berharap dapat bertemu idolanya selepas perlawanan.
Pengaruh kelab milik Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu sememangnya kuat di Asia ketika ini dengan pencapaian baik di Liga Juara-Juara AFC selain membantu meningkatkan kualiti skuad Harimau Malaya yang kini sudah berubah wajah.
Jelas #JDTForAll boleh diguna pakai di mana sahaja kerana sebelum ini ketika kami membuat liputan di Korea Selatan dan Bali, nama JDT juga disebut dan sering dijadikan sebagai contoh untuk semua kelab yang bertanding di Asia.