DUA peminat Persib Bandung maut ketika menyaksikan perlawanan menentang Persebaya Surabaya saingan Piala Presiden 2022 di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Indonesia pada Jumaat.
Menurut polis, dua penyokong Bobotoh atau Persib Bandung maut dalam perlawanan itu dikenali sebagai Ahmad Solihin dan Sopiana Yusuf.
Perlawanan ini mendapat perhatian meluas, termasuk dari pihak kerajaan menerusi Menteri Pemuda dan Olahraga (Menpora), Zainudin Amali.
Sudah tentu, pertandingan Piala Presiden 2022 menjadi perbualan hangat dan akan diteliti selepas berlakunya kejadian mengorbankan jiwa.
“Saya turut berdukacita kematian penonton bola sepak di Bandung semasa menyaksikan pertemuan Persib dan Persebaya.
“Kita prihatin atas kejadian ini. Walhal, pertandingan bola sepak baru saja dibenarkan dihadiri penonton ke stadium,” kata Amali.
Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Pengelola (OC) Piala Presiden 2022, Akhmad Hadian Lukita mengakui kemungkinan besar Maung Bandung tidak akan lagi menjadi tuan rumah selepas ini.
Pada aksi itu, Persib di bawah bimbingan Robert Rene Alberts berjaya meraih kemenangan dengan keputusan 3-1.