HAK untuk bergelar Raja Lembah Klang menjadi milik Selangor FC apabila berjaya menewaskan musuh setempat, Kuala Lumpur City FC 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Dua jaringan penalti pada babak kedua dan satu lagi jaringan di separuh masa kedua memastikan tiga mata menjadi milik Selangor yang bangkit selepas ketinggalan sekaligus memadam kekecewaan tewas besar dalam perlawanan sebelum ini.
Penyerang Selangor, Ayron Del Valle menjaringkan dua gol untuk gol keempat peribadinya bersama Gergasi Merah manakala pemain sayap lincah Faisal Halim akhirnya membuka akaun jaringan bersama Selangor menerusi sepakan penalti pada babak pertama.
LIGA SUPER 2023
FT: Kuala Lumpur City FC 1-3 Selangor FC
⚽ Tchetche Kipre 24'
⚽ Ayron Del Valle 32'(P),54, Faisal Halim 40'(P)#LigaSuper2023#sampaimatikualalumpur#MKLK📸 @selangorfc pic.twitter.com/79KfgW9Mhm
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 31, 2023
KL City terdahulu dihadapan menerusi jaringan Tchetche Kipre pada minit ke-24 sebelum kesilapan individu daripada Kamal Azizi dan Azri Ghani memberikan dua sepakan penalti kepada Selangor untuk bangkit mendahului hingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua pula menyaksikan Selangor terus mengasak dan menguasai permainan dan akhirnya berjaya mendapatkan gol ketiga untuk menggembirakan 4,240 orang penyokong yang majoritinya adalah penyokong skuad Merah Kuning.
KL City yang kehilangan beberapa tonggak utama dilihat tidak dapat mempamerkan aksi sebenar hingga kehilangan punca meskipun Bojan Hodak melakukan pertukaran untuk mengubah taktikal bagi mendapatkan gol.
Kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan dan anak-anak buah Tan Cheng Hoe kembali ke landasan kemenangan dan naik ke tangga ketiga liga dan terikat 13 mata dengan Sabah yang tewas di Iskandar Puteri.
KL City pula masih tercari-cari kemenangan pertama dan jatuh ke tangga ke-12 liga dengan hanya tiga mata dari empat perlawanan dan terpaksa menerima hakikat Selangor adalah Raja Lembah Klang untuk kali ini.