PERTEMUAN Selangor FC dan Terengganu FC untuk aksi Liga Super di Stadium MBPJ Kelana Jaya esok membuka banyak lembaran baharu terutama buat pasukan The Red Giants.
Ini adalah perlawanan pertama mereka di bawah kendalian Ketua Jurulatih Interim, Nidzam Jamil yang menggantikan tempat Michael Feichtenbeiner yang dipecat selepas aksi kurang meyakinkan dari bekas juara 33 kali Piala Malaysia itu.
Para penyokong Selangor pastinya mahu melihat pembaharuan yang dilakukan Nidzam ketika melakukan debut menentang sahabat baiknya, Nafuzi Zain dengan mengharapkan aksi dan keputusan positif dapat diperolehi di laman sendiri.
Perlawanan LS17 : Selangor FC vs Terengganu FC
🏟️ Stadium MBPJ, Kelana Jaya
📆 Rabu, 17 Ogos 2022
🕢 9:00 PM
🆚 Terengganu FCTiket boleh didapati melalui laman https://t.co/HdDmDbgyFX
Dikuasakan PKNS #MKLK #SFCTFC #LS17 #LigaSuper2022 pic.twitter.com/fU0ww9qA99
— Selangor FC (@selangorfc) August 14, 2022
Ianya juga akan menjadi pengubat duka apabila Selangor disingkirkan dari saingan Piala FA menerusi penentuan penalti oleh lawan yang sama minggu lalu yang menjadi titik tolak pemecatan Feichtenbeiner.
Buat Terengganu FC pula, kemenangan ke atas Sarawak United pada Sabtu memberikan kelegaan selepas gagal menang dalam empat perlawanan liga sebelum ini.
Anak-anak buah Nafuzi Zain pastinya mahu meneruskan rentak kemenangan meskipun rekod skuad Peteh di tempat lawan tidak memuaskan apabila hanya mampu menang sekali dari enam kunjungan di luar Kuala Terengganu.
Terengganu FC kini mendahului kelompok enam pasukan pertengahan liga di tangga keempat dengan 20 mata dari 14 perlawanan manakala Selangor ditangga kesembilan dengan 16 mata dari 13 perlawanan.
Tiga mata akan menyaksikan Selangor mampu melonjak ketangga kelima atau keenam dan Terengganu akan menjarakkan diri dari kelompok ini sekiranya berjaya membawa pulang mata penuh ke Kuala Terengganu.