TERSENARAI ke dalam program Road to Gold (RTG) meningkatkan motivasi buat Ng Tze Yong yang sedia berkongsi tanggungjawab bersama Lee Zii Jia dalam misi memburu emas pertama di Sukan Olimpik Paris.
Tze Yong, 23 mengakui peluang Malaysia untuk memenangi pingat dalam acara perseorangan lelaki lebih tinggi sekiranya mempunyai dua wakil beraksi di temasya terbesar dunia berkenaan.
“Saya sebenarnya agak terkejut (disenaraikan dalam RTG) kerana kriteria utama yang ditetapkan sebelum ini adalah berada dalam ranking 10 teratas dunia.
“Namun, dengan keputusan ini, saya akan menerima lebih banyak sokongan yang khusus seperti fisioterapi, tukang urut dan bantuan pemulihan kerana RTG ada pasukannya tersendiri yang akan ikut ke setiap kejohanan.
“Sudah tentu harapan adalah supaya saya dan Zii Jia dapat layak ke Olimpik kerana peluang lebih besar jika ada dua wakil.
“Bagaimanapun, saya percaya ia bukan perkara mudah kerana semua pemain pun akan bersaing untuk ke Olimpik (memenangi pingat),” kata Tze Yong yang kini menghuni ranking ke-21 dunia.
Setiap negara layak untuk mempunyai dua wakil beraksi di Sukan Olimpik dalam acara perseorangan sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan.
Pada Isnin, Jawatankuasa RTG mengumumkan Tze Yong serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei disenaraikan dalam program berkenaan bagi membantu mereka dalam saingan kelayakan ke Olimpik selain skuad hoki lelaki negara.
Tze Yong yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, berkata untuk memastikan dia layak ke Paris, dia perlu mara sekurang-kurangnya sehingga suku akhir dalam setiap kejohanan disertai sepanjang tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik.
“Saya perlu mara sekurang-kurangnya ke pusingan suku akhir dan separuh akhir pada kejohanan akan datang untuk berada dalam kelompok 16 teratas dunia bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya.