KETUA Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali menolak mentah-mentah khabar angin kononnya boleh menandatangani Marc Marquez apabila kontrak pelumba Sepanyol itu bersama Honda tamat pada 2024.
Khabar angin itu dimulakan oleh Jorge Lorenzo. Bekas pelumba yang pernah menunggang Yamaha, Ducati dan Honda itu percaya Marquez mempunyai peluang untuk diambil oleh Ducati apabila kontraknya tamat.
Bagaimanapun, menurut Domenicali, berita itu tidak benar. Ducati tidak berminat untuk merekrut Marc Marquez.
“Perkara sebegini bagus kerana ia membuat ramai orang bercakap. Tetapi saya rasa ia bukan perkara yang sesuai untuk kami.
“Kami mempunyai kumpulan pelumba yang sangat baik dan kami membangunkan mereka sendiri,” kata Domenicali kepada Sky, dipetik dari Crash.
A very open Marc Marquez speaking about his mentality to reach the top in MotoGP 🗣️#MotoGP pic.twitter.com/RxPOqPJWwt
— Crash MotoGP (@crash_motogp) June 5, 2023
Ketika ini, Ducati sememangnya dominan di trek MotoGP. Selepas bertahun-tahun menjadi pesaing dominasi Marquez dan Honda, kini Ducati dan pelumbanya menjadi ideal dominan dalam persaingan perlumbaan.
“Francesco Bagnaia mempunyai bakat luar biasa. Dia dipandang remeh dan dia juga melakukan beberapa kesilapan tetapi dia mampu bersaing. Jika dia tidak melakukan kesilapan, sudah tentu kita boleh bercakap mengenai satu lagi gelaran dunia sekarang.
“Tetapi bukan sahaja Pecco, kami juga mempunyai Enea Bastianini, Jorge Martin dan ramai lagi penunggang muda,” kata Domenicali.
Domenicali mengiktiraf Marc Marquez sebagai pelumba yang hebat tetapi Ducati akan terus memilih untuk mengikut cara mereka sendiri yang telah mereka lakukan setakat ini.
“Marquez adalah bakat yang sangat luar biasa, dia tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa. Tetapi Ducati juga membina kekuatan dalam cara kami bekerja dengan pelumba kami.
“Semangat pasukan ini adalah semangat persaudaraan. Hari ini kami selesa dengan perkara seperti ini dan akan berterusan seperti ini. Keputusan memberi kami alasan (untuk meneruskan pilihan ini),” kata Domenicali.
Kali terakhir Marquez memenangi kejuaraan dunia MotoGP pada 2019. Selepas mengalami kecederaan pada permulaan musim MotoGP 2020, Marquez kemudiannya tidak beraksi untuk masa yang lama dan bergelut untuk mendapatkan semula penguasaannya.
Selain daripada keadaan fizikal, perkara lain yang menjejaskan prestasi Marquez ialah motosikal Honda masih belum kompetitif.