BINTANG tenis ketiga terbaik di dunia, Juan Martin del Potro mendakwa dia tidak mempunyai apa-apa selepas terpaksa bersara daripada sukan itu pada tahun lepas.

Pemain Argentina yang digelar ‘Menara Tandil’ tetap kembali beraksi setelah berterusan mengalami kecederaan di pergelangan tangan untuk mencapai kedudukan pemain ketiga terbaik di dunia dalam kariernya pada 2019.

Namun, pemenang tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2009 itu telah tercedera pada tempurung lutut ketika beraksi di Queen’s Club pada musim panas dan setelah beberapa kali menjalani pembedahan, dia secara rasminya mengumumkan persaraan sehari selepas penampilan perpisahan di Buenos Aires.

Atlet yang mempunyai ketinggian 6 kaki dan 6 inci ketika itu memakai bandana ikoniknya sambil menangis dan melambai kepada penonton yang menyokongnya untuk kali terakhir, berikutan kekalahan 6-1, 6-3 kepada rakan senegaranya, Federico Delbonis. Potro kemudiannya menarik diri dari penampilan yang dijadualkan di Rio Open pada minggu berikutnya, dan mengakhiri karier epiknya.

Potro yang berkongsi pengalaman buruk sepanjang kecederaannya memberitahu media Argentina yang dia telah pergi ke Switzerland untuk berjumpa dengan doktor lain baru-baru ini. Dia telah mencuba pelbagai rawatan atau pembedahan baru seperti yang disyorkan oleh ramai pemain tenis namun Potro dilanda kekecewaan kerana belum mendapat hasil yang positif.

“Seperti biasa, saya berharap, saya mempunyai keyakinan dalam setiap rawatan baru yang dicuba. Apabila ia gagal, sukar untuk saya menerimanya dan selama tiga tahun setengah menjalani rawatan, perkara ini sering berlaku.

“Hari ini saya hanya boleh berjalan, saya tidak berlari di atas treadmill, saya tidak boleh naik tangga tanpa rasa sakit. Saya tidak boleh memandu untuk jangka waktu yang lama tanpa berhenti untuk meregangkan kaki saya,” katanya.

Juan Martin del Potro

Dalam wawancara yang penuh emosi itu, Potro berkata kehidupannya sukar dan menyedihkan namun sentiasa mencuba untuk memperbaiki keadaan dan menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Akan tetapi, dia boleh menerima secara psikologi kehidupannya tanpa tenis.

“Saya adalah pemain ketiga terbaik di dunia, kemudian tiba-tiba saya cedera lutut dan di sinilah saya berada, tanpa mempunyai apa-apa.

Selama ini, saya cuba untuk pulih seperti yang saya alami pada kecederaan lain sehinggalah di Buenos Aires saya berkata pada diri sendiri ‘cukup’. Dari Buenos Aires saya menemui diri saya, dan saya masih di sana, dalam proses refleksi diri,” tambah Potro.

Potro merupakan antara bintang tenis terkenal yang mengakhiri karier epik pada tahun 2022. Ash Barty, yang ketika itu berada di peringkat nombor satu dunia kemudiannya mengumumkan persaraan pada usia 25 tahun pada bulan Mac, manakala bintang Perancis Jo-Wilfried Tsonga bersara selepas penampilan terakhirnya di Roland Garros.