DUA pemain import baharu Kedah Darul Aman FC, Sukhrob Nurulloev dan Milos Gordic tidak sabar untuk beraksi di hadapan penyokong setia Hijau Kuning dalam kempen Liga Malaysia 2024-2025 yang akan membuka tirainya pada 10 Mei 2024.
Nurulloev dan Gordic masing-masing teruja melihat kehadiran hampir 2,000 penyokong ketika aksi ujian pramusim menentang Penang FC di Alor Setar dan duo ini menjangkakan lebih ramai penyokong akan membanjiri Stadium Darul Aman untuk berada di belakang pasukan.
Nurulloev juga kini sudah mendapat nama manja dari para penyokong Sang Kenari yang menggelarkan pemain Uzbekistan itu sebagai Nurul dengan semuanya teruja untuk melihat sendiri kemampuan pemain tengah itu merencana serangan skuad kendalian Nafuzi Zain musim ini.
“Saya teruja berada di sini dan saya akan berikan segalanya untuk memastikan semua penyokong gembira dan tidak sabar untuk beraksi di dalam stadium yang penuh kerana ianya memberikan semangat tambahan buat saya dalam perlawanan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Perkara yang sama turut dikongsi Milos yang mahu menjadikan semangat para penyokong sebagai motivasi tambahan buat dirinya untuk beraksi lebih baik dan menjaringkan gol sekali gus membantu pasukan mendapat keputusan yang baik.
“Saya teruja melihat begitu ramai penyokong yang hadir walaupun hanya ketika perlawanan ujian berbeza dengan penyokong sewaktu saya di Eropah dan terbukti apa yang dikatakan teman saya bahawa Kedah adalah kelab yang besar dengan penyokong yang ramai.
“Ianya penting untuk saya jaringkan gol dan saya perlu bersedia untuk menarik kepercayaan penyokong kerana mereka adalah tulang belakang kelab dan saya jadikan semangat mereka sebagai motivasi tambahan buat saya,” ujarnya ketika ditemui di Suka Menanti.
Kedah kini boleh mendaftarkan kedua-dua pemain import ini selepas bebas dari sekatan perpindahan oleh Fifa dan para penyokong juga berharap agar Sang Kenari berjaya menyelesaikan segala masalah yang membelenggu kelab untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2024-25.
Sang Kenari akan bertandang ke Selayang untuk aksi pembukaan Liga Super menentang PDRM FC pada 11 Mei 2024 dan semestinya gandingan Nurul dan Milos menjadi taruhan untuk kemenangan pertama musim ini.