PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberi gambaran insentif yang diberikan kepada gandingan emas kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik adalah sesuatu motivasi untuk mereka dan pemain kebangsaan yang lain untuk berusaha bermati-matian demi negara.

Jelas beliau, perjalanan gandingan beregu harapan negara masih jauh lagi kerana usia mereka yang muda meletakkan mereka dalam prospek merangkul pingat emas Olimpik yang turut belum pernah digapai mana-mana pemain kebangsaan.

Beliau turut memberi mesej jelas bahawa Malaysia hanya perlu menggilap bakat-bakat baru kerana Malaysia telahpun menjadi kuasa badminton dan bukannya baru  mengorak langkah dalam sukan tersebut.

Ucapan terima kasih turut disampaikan Norza kepada jurulatih beregu negara, Rexy Manaiky kerana sentiasa bersama pemain dalam memastikan badi Aaron Chia-Soh Wooi Yik di separuh akhir berjaya ditamatkan.

“Insentif yang datang adalah bukti, sekiranya anda mendapat kejuaraan dunia atau mengejar mimpi anda, bukan sahaja BAM, tapi sektor swasta dan kerajaan akan memberi pulangan yang setimpal dengan kejayaan tersebut untuk menaikkan nama negara.

“Perjalanan mereka masih jauh lagi, mereka masih muda, sudah tentu mereka ingin memburu emas Sukan Olimpik dan Piala Thomas.

“Di peringkat BAM pula, kita sentiasa memahami cabaran yang kita hadapi hari ini dari segi menentukan bahawa kita memenuhi tuntutan dan keperluan pemain kita.

“Saya cakap sebulan yang lalu, dia punya badi adalah pada separuh akhir bukannya pusingan pertama. Mereka telah berada di sana. Sebab itu, Dr. Tim dan kesemuanya cuba untuk merapatkan jurang.

“Penghargaan juga harus diberikan kepada jurulatih mereka, Rexy Manaiky. Aaron dan Soh telah berjanji kepada kami mereka akan berusaha keras untuk berada di kelompok lima terbaik.

“Mereka kini sudah tahu, jika mereka berada dalam kelompok lima terbaik, mereka boleh menjadi jutawan berganda kerana kita adalah jaguh dalam sukan ini.

“Apabila penantian 45 tahun telah ditamatkan, kita panggil mereka sebagai juara dunia. Sebab itu saya katakan kita bukan mencatat sejarah tetapi kita memperbaiki sejarah kerana kita adalah kuasa badminton dan bukannya baru hendak belajar bermain.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan akan ada pemain professional di luar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang akan kembali ke pangkuan persatuan tersebut dan ianya akan diumumkan dalam masa yang terdekat oleh BAM.

Selain itu, BAM juga telah ditawarkan oleh kerajaan Pulau Pinang tanah berukuran lapan hingga 10 ekar untuk dibangunkan menjadi akademi seterusnya di utara tanah air itu.

“Tidak lama lagi pemain independent juga akan menyertai BAM tetapi kemudian kita akan umumkan.

“Kerajaan Pulau Pinang telah menawarkan kepada kami sebidang tanah di Pulau Pinang untuk kami membina sebuah lagi akademi di sana. Kita telah pergi melawat kawasan berukuran 8 hingga 10 ekar.

Terdahulu, majlis yang diadakan di Auditorium Akademi Badminton Malaysia (ABM) adalah sebagai penghargaan kepada jaguh dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang baru sahaja mendapat durian runtuh RM250,000 seorang (RM150,000 dari BAM, RM50,000 dari YONEX dan RM50,000 dari 100 Plus) menjadikan jumlah keseluruhan buat kedua-dua pemain adalah sebanyak RM500,000.