PASUKAN profesional perlumbaan jentera rali yang berpangkalan di Kuala Terengganu, East Coast Rallying menyasarkan podium untuk menutup kalendar perlumbaan rali mereka pada tahun ini.
Namun ianya bukan laluan mudah buat pasukan East Coast Rallying yang hadir selaku pasukan bukan pilihan bagi kategori P10 Kejuaraan Rally Sprint X-One yang berlangsung selama dua hari bermula pada 9 Disember sehingga 10 Disember 2023 di MAEPS, Serdang.
East Coast Rallying mempertaruhkan jentera Honda Jazz GE yang ditala sepenuhnya oleh R&R Sports Speed Garage untuk dikemudi oleh Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki bersama pemandu kedua pasukan Amir Izham bakal berentap bersama 31 pasukan lain yang turut mengintai untuk menaiki podium berprestij ini.
“Saingan kali ini amat hebat di mana kita boleh lihat penyertaan sehingga 31 pasukan sudah tentu ianya bakal memberi cabaran hebat untuk kami selaku pasukan kerdil dari pantai timur.
“Penyertaan beberapa pasukan profesional bersama pelumba-pelumba ternama yang sering mewarnai kejuaraan rali tempatan memberi prestij penanda aras yang baik untuk penganjur namun buat kami ianya merupakan cabaran besar.
“Jentera Honda Jazz GE menjadi pilihan kali ini untuk berentap di atas permukaan jalan tar sepenuhnya di mana jalinan kerjasama teknikal bersama R&R Sports Speed Garage memberi tambah nilai terbaik buat pasukan kami. Setiap keputusan ditentukan bersama termasuk strategi taktikal di dalam litar nanti.
“Untuk kejuaraan kali ini, kami mengharapkan podium memihak kepada kami,” ujar Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki yang telah berkecimpung dalam perlumbaan rali sejak 2017 dan pernah dinobatkan juara pada tahun 2013 selaku juara keseluruhan Kejuaraan Rali Malaysia (Kategori Junior) 2012 bersama Azmeer Yusri Yusof.
Manakala buat Amir Izham yang beraksi selaku pemandu kedua pasukan East Coast Rallying tidak memandang mudah cabaran perlumbaan di atas jalan tar ini berbanding berlumba di dalam persekitaran ladang-ladang mahupun hutan yang pernah ditempuhi sebelum ini.
“Setiap litar perlumbaan mempunyai cabaran yang tersendiri dan sudah tentu litar jalan bertar ini ianya bukan mudah khususnya untuk pengendalian jentera rali untuk membuat catatan masa terpantas. Faktor cuaca yang tidak menentu juga bakal memberi cabaran tersendiri di litar ini.
“Disiplin dan komunikasi yang baik di dalam pasukan menjadi kunci utama untuk memburu podium,” jelas Amir Izham yang juga merupakan pengasas bersama pasukan East Coast Rallying berpengalaman di arena sukan permotoran jentera lasak sejak 2008.
Amir Izham juga merupakan seorang jurulatih sukan selam skuba bertauliah PADI turut pernah dinobatkan juara keseluruhan Kejuaraan Rali Malaysia (Kategori Junior) 2012 bersama pelumba Dinie Nazmi Abd Rahman.
East Coast Rallying telah ditubuhkan sejak 2017 oleh Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki bersama Amir Izham selaku pemandu kedua di mana pada kali terakhir pasukan ini menaiki podium di tempat ke-3 pada tahun 2018 sewaktu Kejuaraan Rali Terengganu di Lembah Bidong, Setiu, Terengganu Darul Iman.
Kejuaraan Rally Sprint X-One yang berlangsung selama dua hari ini mempertaruhkan 8 kategori perlumbaan yang dipertandingkan meliputi 4 kategori utama dan selebihnya kategori perlumbaan bagi pasukan amatur termasuk kategori wanita dan kategori jentera klasik yang bakal menjadi tumpuan peminat sukan permotoran tanah air.
Menambah cabaran perlumbaan, pusingan pertama perlumbaan rali ini diadakan pada waktu malam sekaligus memberi cabaran tersendiri buat setiap pelumba.
Penganjuran perlumbaan rali berprestij yang mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan(KBS) dan diiktiraf oleh badan induk sukan permotoran tanah air, Persatuan Sukan Permotoran Malaysia(MAM) ini dianjurkan oleh X-One Motorsports Club bersama Race & Rally Garage.