EDISI ketiga Eco Trail Putrajaya bakal kembali pada 27 Julai 2024 selepas menerima sambutan yang hangat dalam dua edisi sebelum ini.
Dengan empat kategori yang ditawarkan iaitu 80 kilometer (KM), 50KM, 30KM, dan 10KM, larian ini memberi peluang kepada peserta dari pelbagai tahap kecergasan untuk mengambil bahagian.
Menariknya, Eco Trail Putrajaya menggabungkan elemen urban dan alam semula jadi dengan laluan yang melalui tempat-tempat ikonik seperti Taman Botanik, Masjid Putrajaya, Jabatan Putrajaya, Tasik, dan banyak lagi.
Selain itu, laluan-laluan yang disusun secara khusus ini juga memberikan peserta peluang untuk meneroka keunikan Putrajaya melalui sudut pandang yang jarang dilihat oleh orang ramai.
Sebagai ‘hidden gems’, laluan-laluan ini menawarkan pengalaman yang eksklusif dan membolehkan peserta menikmati keindahan kawasan-kawasan terpencil yang jarang dilalui oleh awam. Ia merupakan peluang yang sangat berharga bagi sesiapa yang ingin mengeksplorasi sisi tersembunyi dan menarik di Putrajaya.
Pada tahun 2023, Eco Trail Putrajaya berjaya mengumpulkan seramai 2500 orang peserta dari pelbagai negara.
Acara tahunan ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Perbadanan Putrajaya.