HENDAK seribu daya, begitulah agaknya pendekatan diambil pelari maraton negara Mohd Syahidan Alias dalam usaha mengharumkan nama negara di persada dunia, apabila namanya dicatat dalam pemegang rekod dunia Guiness.

Dia kini bergelar pelari maraton terpantas untuk kategori memakai pakaian tradisional Melayu (lelaki) dengan catatan 2 jam 49 minit 22 saat di TCS Marathon 2023, Ahad lalu.

Berita gembira memecahkan rekod dunia Guiness itu dikongsikan sendiri pelari berkenaan yang lebih dikenali dengan nama Edan Syah dalam satu hantaran yang dimuatnaik di laman sosial Facebook dan Instagramnya.

Mohd Syahidan Alias segak bergaya menyertai larian maraton dengan berbaju Melayu di UK.

“Misi berjaya. Kami berjaya capai misi mencatat masa bawah tiga jam untuk menjadi pemegang rekod dunia Guinness sebagai pelari maraton paling laju (42.2 km) dalam pakaian tradisional melayu (lelaki),” tulisnya.

Untuk rekod, pencapaian ini bukan kali pertama buat Edan Syah yang berjaya mencatatkan rekod dunia kerana sebelum ini pernah melakukannya pada 2019 di Festival Larian Blackmores, Sydney Australia sebagai pelari maraton paling laju dalam kostum bendera negara dengan catatan masa 2 jam 54 minit.

Namanya Mohd Syahidan Alias tercatat lagi dalam rekod dunia Guiness, mencatat masa terpantas larian 42.2km dalam pakaian tradisional.

Dalam hantaran yang sama, Edan turut menzahirkan rasa terima kasihnya kepada jenama Baju Melayu tempatan, Bulan Bintang yang sudi menajanya sehingga berjaya melakukan rekod berkenaan.

“Terima kasih sekali lagi kepada @bulanbintanghq @meripergibulat atas kepercayaan, peluang dan menerima idea “luar kotak” saya untuk projek ini.

“Anda berani mencipta penanda aras baharu apa yang boleh dan buat yang mustahil. Terima kasih pengurus saya @jolenehong atas kepercayaan anda dan semua pengaturan dengan GWR (Guinness World Record)  dan pasukan @bulanbintanghq .

Meletop-letop jenama baju Melayu Bulan Bintang tahun ni apabila Mohd Syahidan Alias mengenakan busana mereka ketika mencita nama dalam rekod dunia Guiness di UK.

“Kami telah melakukan yang terbaik untuk menjadikan baju melayu kembali hebat pada 2023 TCS @londonmarathon pada Hari Raya Aidilfitri! Terima kasih semua atas doa dan sokongan anda dalam perjalanan,”ujarnya.

Nampaknya hari raya Aidilfitri Edan Syah tahun ini cukup gempak, bagaimana pula hari raya anda, semoga kita menyambutnya dengan manfaat yang baik.