EDISI sulung Cyclocross Malaysia di Taman Rekreasi D.R. Seenivasagam di Ipoh, Perak yang sepatutunya berlangsung hujung minggu, terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu.
Penundaan itu diumumkan Pengerusi Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia, Datuk Anas Yusof Sulaiman dalam satu sidang media, menyatakan kejohanan ditunda ke 27 dan 28 Mei depan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Anas berkata, faktor utama penundaan adalah kerana pertindihan venue dengan Hari Landskap Negara.
Justeru, kejohanan perlumbaan berbasikal berhalangan atau singkatannya CX itu terpaksa difikirkan semula dan ditunda.
“Pertama sekali sebab penganjuran cyclocross ini kita buat bersama dengan Hari Landskap Negara dan difahamkan ia dirasmikan Perdana Menteri. Kita juga difahamkan pada saat akhir yang Timbalan Perdana Menteri juga akan hadir.
“Jadi (penundaan) atas sebab protokol keselamatan dan teknikal. Apabila PM dan TPM hadir, maka ada perubahan daripada segi susunan seperti daripada kedudukan trek dan tempat kita buat pelancaran.
“Kalau dilihat, pada masa itu… daripada sudut trek, penganjuran (cyclocross) di sebelah sungai dan area itu memang untuk kita namun apabila ada pelancaran Hari Landskap dan PM serta TPM hadir, maka kawasan berkenaan dijadikan tempat letak kereta.
“Itu tak menjadi masalah, cumanya apabila dibuat secara serentak, mungkin ada isu daripada sudut penggunaan pembesar suara di mana kita buat sukan di sini dan di sana pula pelancaran Hari Landskap.
“Oleh itu, sebagai menghormati dan sokongan kepada Hari Landskap Negara serta memahami keperluan protokol keselamatan, kita mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak dan kita membuat keputusan menangguh kejohanan kepada 27 dan 28 Mei ini.
“Kalau diteruskan (hujung minggu ini), kita akan ada masalah darpada teknikal kerana cyclocross tak sama seperti acara sukan biasa, ia memerlukan jarak tertentu, kedudukan kecerunan dan kalau ‘lari’ sedikit, kita akan berdepan masalah untuk menganjurkannya.
“Namun apa yang penting kita akan teruskan, kita bukan batalkan, cuma tangguh pada satu tarikh ditetapkan dan ini juga tertakluk kepada kelulusan,” kata Anas.
Dalam pada itu, Anas memberitahu, yuran penyertaan akan dikembalikan sekiranya peserta mahu melakukan sedemikan, sebaliknya jika peserta yang sudah mendaftar mahu menyertai acara pada tarikh baharu Mei hadapan.
“Peserta yang sudah mengesahkan penyertaan dan membuat bayaran, boleh berhubung dengan sekretariat kejohanan di talian 03-6734 5990 ataupun menyertai kejohanan pada Mei nanti,” katanya.