KETUA jurulatih angkat berat kebangsaan, Edmund Yeo Thian Chuan menyatakan bahawa misi ke Olimpik Paris 2024 sedang berada di landasan yang baik bahkan atlet-atlet juga telah kembali menjalani sesi latihan seperti biasa mulai hari ini (Selasa).

Seperti yang kita sudah maklum, Mohamad Aniq Kasdan merupakan calon utama yang memiliki peluang cerah ke temasya Olimpik kerana dirinya kini sudah berada di kedudukan ketujuh dalam kelayakan sukan Olimpik Paris 2024.

Namun, menurut jurulatihnya, keputusan masih belum muktamad dan Aniq perlu berusaha keras pada kelayakan peringkat akhir yang diadakan pada bulan April depan di Phuket, Thailand.

“Jadi, tidak lain tidak bukan misi 2024 saya adalah untuk sedaya upaya membantu atlet supaya dapat melayakkan diri di pentas Olimpik nanti.

“Memandangkan hanya mempunyai satu slot sahaja bagi setiap negara yang layak ke Olimpik, jadi Aniq perlu kekal di kedudukan ‘top’ 10 dalam pusingan kelayakan,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Untuk rekod, atlet kelahiran Johor itu telah beraksi dengan cemerlang pada Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II di Qatar September lalu dan berjaya merangkul pingat perak menerusi acara ‘clean & jerk’ dan gangsa keseluruhan bagi kategori 61 kilogram (kg).

Dalam masa yang sama, Aniq turut meme­cahkan rekod kebangsaan milik­nya apabila dia berjaya melakukan angkatan 296 kilogram.

Kelayakan terakhir Olimpik sebelum menjelang pentas Olimpik 2024 dijadualkan berlangsung di Phuket, Thailand bermula 2 sehingga 11 April 2024.