BEREGU nombor dua negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin sah menarik diri daripada saingan Terbuka Thailand yang akan bermula, esok.

Perkembangan itu dikongsikan jurulatih mereka, Rosman Razak yang memberi tahu Ee Yi mengalami kecederaan ketika saingan Masters Malaysia dan perlu menjalani rawatan pemulihan selepas pemeriksaan dilakukan di Institut Sukan Negara (ISN).

“Seperti semua tahu, @ee_yi_11 ada mengalami sedikit kecederaan baru-baru in. Alhamdulillah selepas berjumpa dengan doktor ISN, kecederaan tidak begitu serius tetapi memerlukan rawatan pemulihan yang secukupnya.

“Oleh itu, setelah mendengar dan mendapat pandangan pelbagai pihak terutama kedua-dua mereka, saya mengambil keputusan untuk pasangan ini menarik diri daripada kejohanan Terbuka Thailand.

“Diharapkan keputusan ini dapat memberikan Ayie (Ee Yi) mendapatkan rawatan pemulihan secukupnya dan seterusnya meneruskan misi kami untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik (Paris 2024),” kata Rosman menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Difahamkan, Ee Yi mengalami kecederaan di bahagian buku lali kanannya.

Pasangan nombor lapan dunia itu tersingkir di suku akhir Masters Malaysia, Jumaat lalu selepas tewas di tangan beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae yang dinobatkan sebagai juara pada kejohanan itu.

Ee Yi-Yew Sin dijadual menentang pasangan China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang di pusingan pertama Terbuka Thailand.