PERBINCANGAN lanjut dengan pengurusan Selangor FC (SFC) mengenai kontrak Faisal Halim bersama kelab itu bagi saingan musim depan sedang berjalan.

Ejen pemain bekas pelajar SMK Mutiara Impian, Pulau Pinang itu, Joe Berbatov dari syarikat Estrada Sports Agency berkata kepada FLASH SUKAN buat masa ini rundingan berlangsung baik.

“Kita akan pastikan kontrak Miki nanti yang terbaik untuk beliau.

“Kita tengah bincang dengan pihak pengurusan Selangor untuk kontrak seterusnya.

“Dia (Faisal) dah bantu pasukan Selangor dan dia berhak mendapat kontrak yang lebih baik,” katanya.

Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Miki mengikat kontrak bersama Merah Kuning sejak meninggalkan Terengganu FC pada musim 2022.

Bersama skuad Tan Cheng Hoe, Faisal  membantu Selangor mara ke suku akhir Piala Malaysia dan paling manis, membawa Selangor bakal beraksi ke Liga Juara-Juara Asia 2 atas kapasiti naib juara Liga Super.

Menerusi semakan di laman web Transfermarkt.com, ‘tanda harga’ Faisal kekal pada 375,000 Euro (RM732,000), tampil 22 perlawanan saingan liga, meledak 11 gol serta lapan bantuan jaringan.