BEKAS pengendali bola sepak Vietnam, Park Hang-seo terbuka untuk berunding dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya.

Ia susulan ejen kepada Hang Seo, Lee Dong Jun dilaporkan bersedia untuk mengadakan rundingan bersama FAM sekiranya benar-benar berminat dengan khidmat pengendali dari Korea Selatan itu.

Menurut laporan dari media Vietnam, Dong Jun sebelum ini pernah berjumpa dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin namun tiada perbincangan mengenai usaha menjadikan Hang Seo sebagai pengendali baharu Harimau Malaya.

“Saya ada berbual dengan presiden persatuan bola sepak seluruh dunia termasuk Datuk Hamidin Mohd Amin. Namun perbincangan merangkumi pelbagai topik dan tiada perbincangan untuk permohonan jawatan ketua jurulatih di Malaysia.

“Sekiranya Malaysia berminat dengan Park, mereka perlu membuat tawaran kepada saya terlebih dahulu. Selepas itu barulah saya boleh berbincang dengan Park untuk pertimbangan,” katanya seperti dilaporkan oleh media Vietnam.

Hamidin dalam sidang media pada minggu lalu mengakui Hang Seo menjadi salah seorang jurulatih yang berada dalam radar FAM untuk mengemudi Harimau Malaya.

Beliau bagaimanapun memberitahu bahawa pihaknya ketika ini akan membuat penilaian rapi terlebih dahulu terhadap prestasi Pau Marti Vicente sebelum memutuskan untuk mengambil ketua jurulatih baharu buat Harimau Malaya.

Pau Marti Vicente akan mula mengemudi Harimau Malaya buat sementara waktu, dengan kempen Pestabola Merdeka menjadi tugas pertama pengendali dari Sepanyol.