DALAM tempoh lima hari lagi, pasukan bola sepak negara kita akan bertemu dengan Oman dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Fifa 2026 di Muscat.

Antara faktor terpenting adalah kehadiran penyokong. Kali ini, semangat sukan bola sepak kembali menggema, dan seruan kepada perantau di Timur Tengah telah dikeluarkan untuk bersama-sama menyokong pasukan Harimau Malaya.

Menurut Imran Anuar yang juga Admin Facebook Ekor Timur Tengah, seruan ini mengajak mereka untuk bersatu dalam semangat, memberikan sokongan dengan sepenuh jiwa, dan menguatkan semangat untuk menegakkan kebanggaan negara.

“Setiap suara dan sokongan dari jauh amat diperlukan untuk memberi semangat kepada pasukan. Oleh itu, kami harap agar mereka turun ke stadium dan membanjiri curva untuk memberi sokongan padu kepada pasukan kebangsaan.

“Ini adalah panggilan kepada semua untuk bersama-sama memeriahkan stadium dan memberikan sokongan tanpa batas kepada pasukan bola sepak negara dalam usaha mereka untuk mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.

“Ayuh, demi negara tercinta, Malaysia,” katanya.

May be an image of text

Imran berkata, tiket perlawanan boleh didapati di Muscat, Oman.

“Semua dijemput hadir dan menyokong pasukan kebangsaan kita dalam pusingan penting ini,” katanya lagi.

Malaysia kini dalam rangka persiapan akhir semalam membelasah Nepal 5-1 dalam perlawanan latihan tertutup sebelum bertemu Oman di Muscat pada 21 Mac dan 26 Mac di Bukit Jalil dengan keputusan positif dari kedua-dua perlawanan ini bakal mencipta sejarah baharu buat Harimau Malaya.