FOTO: SABAH FC
BERITA pengumuman persaraan pemain berpengalaman, Amri Yahyah daripada arena bola sepak profesional cukup mengejutkan ramai pihak.
Apatah lagi, walaupun menggantung but pada usia 42 tahun susuk tubuh Amri masih lagi cergas dan boleh bermain untuk sekurang-kurangnya beberapa tahun lagi.
Anak jati Tanjung Karang, Selangor itu ketika dihubungi FLASH SUKAN beremosi meluahkan kata-katanya selepas berpuluh-puluh tahun menjadikan karier bola sepak lebih separuh umurnya pada usianya 20 tahun.
Dia merakam ucapan terima kasih kepada pengurusan Sabah FC dan penyokong setiasa kerana sangat prihatin dalam membantunya meneruskan kesinambungan beraksi atas padang.
“Terima kasih kepada semua pihak termasuk penyokong yang memberi sokongan padu sepanjang saya bersama skuad Sabah FC.
“Banyak kenangan manis dan memori terindah di bumi Likas dan saya menyukai kehidupan penduduk di Sabah.
“Juga kepada pengurusan tertinggi Johor Darul Ta’zim ketika di sana dan semestinya tak lupa negeri kelahiran, tempat saya mula karier, Selangor. Terima kasih segala-galanya, detik terindah ini saya tidak akan lupakan sampai bila-bila,” katanya mendapat jolokan Ketua Kampung Likas daripada peminat setia The Rhinos.
Amri yang masuk pada babak kedua semasa menentang Kedah Darul Aman mendapat tepukan gemuruh serta aksi ‘nakalnya’ yang enggan memakai lilitan hitam di lengan sebelum disarung oleh Rizal Ghazali.
Bagaimanapun, dedah Amri, dirinya belum lagi puas menendang bola di lapangan, sebaliknya mungkin akan mewakili pasukan semi profesional selepas ini.
“Saya hanya bersara sebagai pemain profesional di peringkat tertinggi. Tapi, jiwa dan raga saya belum mampu menoktahkan supaya terus berhenti bermain, berlari dengan kawan-kawan.
“Naluri saya tetap mengatakan ingin main lagi. Rugi jika bakat dan kudrat yang Allah kurniakan tidak digunakan sebaik mungkin,” katanya menjadi hero apabila menjaringkan gol emas menentang Sabah dalam Piala Malaysia 2002.
Besar kemungkinan pentas saingan Liga M3 destinasi terbaharu diwakili pemain yang miliki kekuatan kaki kanan itu.
Bekas pemain kebangsaan dari tahun 2004 hingga 2017 yang mula bersama Sabah pada tahun 2021 itu banyak membantu skuad Sang Badak melakar kemenangan dalam perlawanan yang disertainya, khususnya dalam saingan Liga Super.
Amri berkhidmat paling lama bersama Selangor dari tahun 2001 hingga 2013, sebelum berhijrah ke selatan untuk menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dari tahun 2014 hingga 2016.
Dia kemudian menyertai Melaka United buat seketika pada tahun 2017, sebelum kembali bersama Selangor hingga tahun 2019 dan seterusnya ke Sarawak United pada tahun 2020.
Paling diingati, pada 25 April tahun lepas, semasa perlawanan Liga Super menentang Kedah Amri mencipta rekod liga dengan menjaringkan hatrik pada usia lanjut 41 tahun.
ARTIKEL BERKAITAN : Amri Yahyah akhiri karier profesional pada usia 42 tahun