[Eksklusif]

TINDAKAN kerajaan negeri Selangor meletakkan Selangor FC sebagai salah satu manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat bukanlah sebagai campur tangan kerajaan dalam urusan kelab tetapi boleh dianggap sebagai satu komponen penting dalam pembangunan negeri Selangor.

Manifesto yang dikeluarkan parti pemerintah itu menjelaskan misi mereka membantu pasukan Merah Kuning memenangi Sukma, Piala Malaysia dan Liga Super menjelang 2025 dan Piala AFC pada 2027.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, beliau menyambut baik perkara ini dan menganggap tindakan kerajaan negeri itu sebagai tanda bola sepak mampu menjadi platform penyatuan dan perpaduan bagi semua kaum di negeri itu.

Johan juga menyokong tindakan ini kerana kelab mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan negeri sejak diambil alih tampuk pemerintahan oleh DYTM Raja Muda Selangor.

“Kerajaan negeri Selangor dibawah pemerintahan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari sejak lima tahun ini menyokong visi dan misi Raja Muda Selangor dengan banyak memberikan sokongan.

“Gandingan Raja Muda dan Menteri Besar sepanjang lima tahun ini banyak mendatangkan hasil buat kelab ini terutama dari segi pembangunan dan kami di pihak kelab menyambut baik perkara ini kerana ianya seiring dengan misi kelab untuk menjadi yang berjaya di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya dalam temubual eksklusif bersama FLASH SUKAN.

Johan bersama Raja Muda Selangor 

Johan juga menambah bahawa beliau gembira kerana bola sepak diletakkan sebagai salah satu komponen penting oleh kerajaan negeri dalam pembangunan negeri Selangor dan juga menegaskan tidak ada campur tangan politik dalam Selangor FC.

“Kami juga menyambut baik apabila kerajaan negeri melihat bola sepak sebagai elemen yang penting kerana kerjasama dengan Selangor FC bukan hanya kepada pasukan utama tetapi merangkumi hingga ke pembangunan peringkat akar umbi termasuk bola sepak wanita dan liga bola sepak negeri.

“Sokongan ini juga menunjukkan komitmen parti tersebut dalam pembangunan bola sepak dan melihatnya sebagai satu platform penting untuk menyatupadukan rakyat Selangor dan saya boleh sahkan tidak ada campur tangan politik berlaku dalam Selangor FC,” jelasnya.