PENJAGA gol wanita kebangsaan, Nur Azurin Mazlan mahu mencabar dirinya ke peringkat lebih tinggi apabila memutuskan untuk menyertai kelab KFF Presingu yang bersaing di Liga Wanita Kosovo.
Azurin yang sebelum ini berkelana ke Liga Super Wanita India mahu menambah pengalaman dengan memilih Eropah sebagai destinasi terbaharu kerana tahu akan kualiti yang lebih tinggi dalam bola sepak Eropah.
“Salah satu sebab adalah saya nak cabar diri saya. Dari Liga India ke Liga Super Kosovo. Kita tahu kualiti yang ada pada pemain Eropah jadi ini adalah platform terbaik untuk saya terus berkembang.
“Selepas di Liga India dengan rekod yang agak baik, kami cuba untuk mendapatkan seberapa banyak peluang yang kami ada dan selepas itu baru kami putuskan tawaran terbaik. Jadi dari situ bermulanya perbincangan bersama KFF Presingu,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Ditanya apakah ada perbezaan antara kelab India dan Presingu, Azurin menyatakan tidak banyak berbeza dari sudut taktikal dan dia mendapat layanan yang baik dari wakil kelab.
“Sejujurnya tidak banyak berbeza, mereka sangat membantu kerana ini kali pertama saya di sini. Taktikal yang digunakan lebih kurang jadi saya harap ianya sedikit sebanyak membantu kami untuk lebih cepat mengadaptasi,” jelasnya.
Jika di India dia berseorangan, berbeza kali ini apabila dia ditemani rakan, Lyana Sobri yang juga berkelana buat kali pertama selepas mendapat tawaran yang mampu melonjakkan prestasinya.
“Kehadiran Lyana sebagai rakan sepasukan sangat membantu. Kami berdua perlukan satu sama lain untuk bertahan lebih lama di sini. Kami ada kawan untuk berbincang dan menjalani latihan tambahan. Jadi seronoklah,” tambahnya.
KFF Presingu adalah juara Liga Wanita Kosovo musim lalu dan bakal memulakan musim baharu pada 30 Ogos bertemu KFF Llafi dan Azurin dan Lyana mungkin akan diletakkan dalam senarai pasukan.