EKSKLUSIF dari Doha, Qatar
DI sebalik tumpuan terhadap skuad Harimau Malaya yang bakal bercakaran di pentas Piala Asia 2023, siapa sangka ada seorang anak muda dari Malaysia mendapat kontrak dengan kelab tempatan Qatar.
Baru berusia enam tahun, kemahiran luar biasa Ahmad Qiyyam Darwish Ahmad Syukri yang bermain posisi sayap memukau mata jurulatih dan menawarkan menyertai kelab remaja Al-Arabi Sports Club.
Ketika ditemui FLASH SUKAN, bapanya, Ahmad Syukri Mustakim, 40, akui selepas melihat minat mereka terhadap bola yang sangat tinggi, tanpa berfikir panjang membuat keputusan untuk mengilap bakat mereka untuk menyertai akademi atau persatuan bola di Qatar.
“Mereka mendapat pendedahan awal di Premier League Football Academy (PFLA) sejak tahun 2021. Salah satu akademi tempatan. Dari situ kami melihat potensi mereka dalam bidang bola sepak dan kami telah menghantar mereka untuk try-out ke kelab-kelab tempatan seperti Al-Rayan, Al-Sadd, Al-Gharaffa, Al-Ahli dan Al-Arabi.
“Setelah meneliti dan membuat perbandingan, kami memilih untuk mereka meneruskan di Al-Arabi disebabkan jadual latihan dan lokasi latihan yang berada di kawasan perumahan kami.
“Mereka menyertai kelab Al-Arabi pada tahun 2023 dan Darwish merupakan satu-satunya anak Malaysia yang menandatangai kontrak dengan kelab tempatan (Al-Arabi) di usia semuda enam tahun,” katanya.
Darwish turut mempunyai abang, Ahmad Qayyum Danish, 13, dan gemar beraksi sebagai penyerang.
Kongsi Syukri lagi yang berasal dari Johor, kelab Al-Arabi ditubuhkan pada tahun 1952 dan Presidennya adalah, Sheikh Tamim bin Fahad Al Thani.
Dalam tempoh itu, kelab berjaya memenangi pelbagai kejohanan antaranya, Piala Emir, naib juara Kejohanan Piala Asean, Piala Putera Mahkota Qatar dan juara Piala FA Qatar
Kejayaan berterusan Al-Arabi menarik minat pemain terkemuka dunia untuk menyertai Al-Arabi antaranya, Gabriel Batistuta bekas pemain Argentina, Simo Keddari pemain muda Sepanyol, Marco Verratti bekas pemain PSG dan Rafinha pemain dari Brazil.
Sebagai bapa, dia sendiri punyai keinginan dan perancangan tersendiri melihat anaknya dapat menyinar dan boleh menyarung jersi keramat Harimau Malaya pada masa depan.
“Kami dalam perancangan mempersiapkan mereka untuk bersaing bagi mendapatkan tempat mewakili skuad remaja Malaysia dan Harimau Malaya.
“Semoga di masa akan datang mereka dapat menyumbang bakat dan pengalaman bagi membantu pembangunan standard bola sepak Malaysia,” katanya bermastautin di Doha sejak Jun 2006.
Ahmad Syukri yang tidak terlepas mengikuti perkembangan semasa anak buah Kim Pan-gon di media sosial bersama keluarga optimis Malaysia miliki peluang dan harapan melakar kejutan lolos ke Pusingan 16.
“Kami berharap pasukan Malaysia dapat memberikan lebih daripada 100 peratus tumpuan dan komitmen terhadap perlawanan kali ini.
“Kami rakyat Malaysia di Qatar akan sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan Malaysia bagi setiap perlawanan di sepanjang sainangan AFC ini,” katanya penuh bersemangat.