SIAPA sangka kepakaran anak Malaysia ditagih kelab juara BRI Liga 1 Indonesia, Borneo FC Samarinda yang menawarkan kontrak Khairul Nizam Mohd Taib sebagai jurulatih penjaga gawang.

Peluang ini bukan sekadar satu pencapaian profesional, tetapi juga merupakan impian yang telah lama dinantikan oleh Khairul Nizam untuk mengembangkan kariernya di pentas antarabangsa.

Semalam, Borneo FC mengumumkan pelantikan Khairul Nizam sebagai pelatih baru mereka untuk menghadapi musim BRI Liga 1 Indonesia yang akan datang.

Pemilihan beliau adalah berdasarkan kepercayaan dan keyakinan pihak pengurusan terhadap pengalaman luas yang dimilikinya, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Pengalaman luas Khairul Nizam (dua, kiri) berjaya memikat hati pengurusan Borneo FC.

Khairul Nizam,47, yang memegang Lesen AFC A Diploma dan AFC Goal Keeping A Diploma, pernah melatih beberapa kelab di Malaysia serta di luar negara seperti Guinea, Afrika.

Pengalaman ini menjadi faktor utama Borneo FC memilihnya untuk mengemudi pasukan pada musim ini.

Bercakap kepada FLASH SUKAN, Khairul Nizam menyatakan matlamat utamanya bersama Borneo FC adalah memastikan kesemua penjaga gol berada dalam keadaan terbaik.

“Saya ingin memastikan mereka sentiasa bersedia dan bersikap positif dalam menghadapi liga pada musim ini dan juga Piala AFF,” ujarnya.

Kehadiran Khairul Nizam disambut dengan baik oleh pihak pengurusan, barisan kejurulatihan, dan pemain-pemain Borneo FC.

“Syukur Alhamdulillah, sambutan yang saya terima sangat mesra dan ramah. Mereka semua saling menghormati antara satu sama lain,” tambahnya lagi yang lahir pada 24 Januari 1977.

Dalam pada itu, kelab dan penyokong Pesut Etam pastinya mengharapkan perubahan positif dan kejayaan tertinggi pada musim ini.

“Harapan kelab dan penyokong semestinya mengharapkan sesuatu yang baru dan terbaik, dengan matlamat untuk menjuarai liga pada musim ini dan Piala AFF,” katanya.

Walaupun ini adalah kali pertama Khairul Nizam melatih di Liga 1 Indonesia, beliau dijangka tidak kekok dengan cabaran antarabangsa.

“Ini adalah kali pertama saya di Liga 1 Indonesia musim 2024/2025 dan saya belum mempunyai pengalaman melatih posisi penjaga gol di sini.

“Namun, pada akhir tahun lepas, saya melatih beberapa penjaga gol dari kelab Twinstar Academy De Guinee di Guinea, Afrika. Ia memberikan satu nilai tambah buat diri saya,” tegasnya.

Untuk rekod, Khairul Nizam juga mencatat sejarah sebagai jurulatih penjaga gol pertama dari Malaysia yang berkelana ke bumi Afrika dan Indonesia, selain Azmin Azram Abdul Aziz yang melatih di Vietnam.

Raja Isa menyampaikan ilmu bola sepak di Guinea, November tahun lepas.

Diminta mengulas hubungan baiknya bersama Raja Isa, ini jawapan anak kelahiran Pulau Pinang itu.

“Hubungan kami ibarat seorang guru dan seorang anak murid. Saya telah mengenali Raja Isa selama lebih dari 15 tahun. Dalam tempoh tersebut, saya telah melihat dan merasai sendiri bagaimana beliau sebagai seorang jurulatih yang berpengalaman, tegas, dan berdisiplin. Beliau adalah seorang jurulatih yang hebat, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.

“Semua orang tahu bahawa Raja Isa adalah seorang jurulatih yang berpengalaman. Ketegasan dan disiplin beliau dalam melatih pemain-pemainnya telah membentuk ramai pemain berbakat dan berjaya. Sikap beliau yang komited terhadap kejurulatihan dan pembangunan bola sepak telah menjadikannya seorang tokoh yang dihormati dalam dunia bola sepak.

Pusat latihan Borneo FC.

Ujar bekas jurulatih Marcerra United itu, memang terdetik dihatinya untuk berhijrah dan melatih di luar negara jika diberi ruang dan peluang.

“Syukur Alhamdulillah, saya telah diberi ruang, peluang, dan kepercayaan oleh Raja Isa untuk ke Guinea, Afrika pada tahun lalu. Kesempatan ini sangat bermakna buat saya kerana ia membuka pintu untuk saya melatih dan menimba ilmu kejurulatihan bersama kelab dan akademi luar negara.

“Saya amat berterima kasih kepadanya kerana membawa saya bersamanya ke Guinea. Dengan bimbingan dan dorongan, saya berharap untuk terus maju dalam bidang kejurulatihan dan membawa pengalaman berharga ini untuk dikongsi dan diaplikasikan di mana sahaja saya berada,” katanya lagi.

Khairul Nizam kini menyertai barisan kejurulatihan Borneo FC yang diketuai oleh bekas Pengarah Teknikal Indonesia, Pieter Huistra.