(EKSKLUSIF)

TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Afandi Hamzah mengakui badan induk persatuan negeri Pantai Timur itu sedang berdepan episod hitam pada masa kini.

Disebabkan kemelut itu, Kafa antara salah satu persatuan yang tidak dapat hadir ke Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kali ke-59 di Hotel Hilton, Petaling Jaya pada Sabtu.

Jelas ketiadaan Kafa dalam Kongres FAM mengundang 1001 persoalan di mana senonimnya setiap persatuan akan berkumpul bersama-sama bagi membincangkan idea serta pandamgan bagi mempertingkatkan kualiti bola sepak negara.

Ketika dihubungi FLASH SUKAN, Afandi tanpa berselindung mengulas lanjut mengakui situasi Kafa kini bagaikan ‘telur di hujung tanduk’ dan mereka memerlukan bantuan daripada semua pihak.

Jelas Afandi, Kafa yang kini hanya menguruskan pasukan muda selepas pemisahan Persatuan (FA) kepada Kelab (FC) diwajibkan oleh Malaysian Football League (MFL), berharap sedikit sinar akan berlaku bagi memastikan perjuangan bola sepak Kelantan masih kekal relevan.

“(Tidak hadir ke Kongres FAM ke-59) adalah merupakan satu kesilapan komunikasi dan saya akui memang Kafa sekarang berada dalam keadaan sukar dan terlalu banyak masalah.

“Itulah sebab kenapa kami tak boleh hadir ke Kongres FAM tetapi saya akui kesilapan itu datang daripada kami sendiri di mana kami gagal untuk membayar yuran tahunan kepada FAM dan inilah pertama kali Kafa gagal hadir ke Kongres FAM.

“Kafa memerlukan bantuan jika ada pihak yang berminat dan buat masa ini perbelanjaan bertambah biarpun kami hanya menguruskan pasukan muda di mana pendapatan tidak berlaku dan ia menambahkan lagi perbelanjaan kami,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Sebagai rekod, Kafa telah menjual The Red Warriors kepada ahli perniagaan, Norizam Tukiman yang menjadi pemilik Kelantan FC daripada KAFA pada September 2020.

Selain Kafa, Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) juga tidak hadir ke Kongres FAM ke-59 selepas digantung oleh Pesuruhjaya Sukan ekoran Pafa dalam proses mahkamah.