DALAM sebuah kejohanan yang penuh semangat dan kecemerlangan, pemain adik beradik, Mohd Helmi Musa dan Mohd Hafni Musa dari Bagan Datuk berjaya mengukir nama cemerlang bagi negeri Perak apabila mereka menjadi johan Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia Peringkat Kebangsaan (MSKPPM) 2024 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.

Kejuaraan MSKPPM Kebangsaan adalah antara platform terpenting dalam kalangan warga pendidik untuk mempamerkan bakat sukan mereka sambil memperkukuhkan perpaduan dan semangat kesukanan di kalangan komuniti pendidikan.

Permainan sepak takraw menjadi salah satu acara yang paling dinantikan dalam kejohanan ini, dengan pasukan dari seluruh negara bersaing untuk mendapatkan gelaran juara.

Cikgu Helmi, Nik dan Naim sedang menentang regu Pulau Pinang dan akhirnya Perak menang 2-1.

Diletakkan dalam Kumpulan C bersama Melaka, Selangor dan Mesca, Perak yang dibarisi Zarif, Ridzuan, Hafni, Fauzi (Regu 1), Nik, Naim, Helmi, Ammar (Regu 2) dan Miew, Rafiqi, Jais, Rashid (Regu 3) berjaya meraih dua kemenangan ke atas lawan masing-masing (3-0).

Mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan memenangi setiap perlawanan mereka dengan keputusan yang meyakinkan.

Namun, pada perlawanan terakhir kumpulan, Perak berhadapan dengan pasukan Selangor yang bermain dengan agresif dan efektif. Walaupun Perak berusaha keras, pasukan Selangor tampil lebih baik dan akhirnya mengatasi Perak dengan keputusan 2-1.

Perjalanan Perak ke kejuaraan bermula dengan kemenangan bersih 3-0 ke atas pasukan Sabah dalam peringkat suku akhir. Mereka kemudian melangkah ke separuh akhir dan menghadapi cabaran daripada pasukan Terengganu.

Walaupun perlawanan sengit, Perak berjaya mengatasi pasukan Terengganu dengan keputusan 2-1, membawa mereka ke puncak kejohanan.

Keputusan perlawanan akhir memihak regu Perak.

Di peringkat akhir, Perak menentang pasukan Pulau Pinang dalam pertarungan yang dinantikan ramai. Perak sekali lagi menunjukkan keunggulan mereka dengan meraih kemenangan 2-1, menandakan penampilan cemerlang mereka sepanjang kejohanan.

Bagi Mohd Helmi, 49, kejuaraan ini bukan sahaja menjadi medan untuk menunjukkan kemahiran dan kebolehan dalam bidang sukan, tetapi juga satu pengalaman yang memperkukuhkan ikatan persaudaraan dan semangat kerjasama di kalangan mereka.

Pasukan sepak takraw veteran dari Bagan Datuk mengukir sejarah dengan kemenangan yang dramatik dalam perlawanan terbarunya. Kemenangan yang diraih dalam pertandingan sehingga regu ketiga dengan hanya selisih satu mata sahaja bagi regu veteran ini telah menunjukkan kecekalan dan semangat juang yang tinggi.

Imej Cikgu Helmi dijadikan poster juara regu Perak di Pesta MSKPPM kali ke-49 Sabah.

“Perasaan sangat gembira kerana memenangi perlawanan dengan penuh dramatik. Pasukan lawan terlalu kuat untuk ditewaskan namun kami menggunakan strategi 3-2-1.

“Strategi ini salah satu faktor utama kemenangan pasukan kami,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Lebih mesra disapa Cikgu Helmi, beliau kini bertugas sebagai Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (Bahasa) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk berkata, prestasi cemerlang pasukan ini tidak tercapai dengan mudah.

Katanya, para pemain telah menjalani sesi pemilihan dan latihan intensif Fasa 1 di Manjung, diikuti dengan latihan Fasa 2 (akhir) di Ipoh.

“Komitmen dan ketekunan pemain dalam meningkatkan kecergasan fizikal dan taktikal kami membawa impak positif kepada prestasi keseluruhan pasukan.

“Pemain utama dalam pertandingan ini terletak pada regu veteran yang berjaya menghidupkan semula peluang untuk menang setelah regu pertama kalah. Malah regu veteran hanya menang satu mata sahaja daripada pihak lawan. Regu veteran diwakili oleh Cikgu Helmi, Nik dan Naim.

Helmi (duduk, kiri) bersama regu Perak yang bersemangat waja.

“Semua pemain merupakan pemain utama bagi memastikan kemenangan pasukan kami. Malah, faktor Pengerusi Teknik iaitu Cikgu Ku Jais, Pengurus Pasukan Ustaz Sobri dan jurulatih, Shokri pelengkap bagi kemenangan,” katanya yang pernah mewakili Perak memenangi Piala Emas Khir Johari ke-41 di Stadium Mini Ayer Keroh, Melaka pada tahun 2004.

Kemenangan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan bagi Bagan Datuk, tetapi juga merupakan inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha dan berjuang untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.

Mereka telah menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang tinggi dalam persiapan mereka, serta berusaha keras dalam setiap perlawanan untuk mencapai kejayaan.

May be an image of 8 people and text that says "7 12 FUDIN KERINCHI"

Cikgu Helmi (kanan) dan adiknya, Cikgu Hafni (kiri) bergambar bersama selepas perlawanan akhir yang mengujakan.

Kepada Cikgu Helmi dan Cikgu Hafni, tahniah diucapkan atas pencapaian gemilang ini. Semoga kejayaan ini memberi motivasi kepada mereka untuk terus berusaha dan mencapai lebih banyak kejayaan di masa depan.

 

Profil :

Nama : Cikgu Mohd Helmi Musa
Tarikh lahir : 26 Februari 1975
Umur : 49 tahun
Asal: Bagan Datuk, Perak
Kerjaya semasa : Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (Bahasa) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk

Pencapaian dan Penglibatan :

1. Johan Piala Emas Khir Johari 2004

2. Johan MAKSAK Kebangsaan 2006

3. Johan PSKPP Kebangsaan di Putrajaya 2016

4. Johan MARA PSM Open 2018

5. Pemain GP Perilly’s Perak 2000 -2005

6. Pemain MAKSAK Perak 1999-2014

7. Pemain PSKPP Perak 1999-2019