Oleh MOHD FARIQ 

PENYERANG Harimau Malaya, Faisal Halim tanpa berselindung mengakui dia memiliki impian untuk membawa pasukan baharunya, Selangor layak bermain di pentas Asia 2024.

Bekas pemain lincah Terengganu itu telah menamatkan spekulasinya selepas skuad Gergasi Merah hari ini secara rasmi memperkenalkannya sebagai muka baharu skuad kendalian Tan Cheng Hoe pada musim hadapan.

Kehadiran Faisal yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ dijangka bakal menambahkan lagi sengat jentera serangan Selangor selain kehebatan mengelecek yang sentiasa menjadi igauan benteng pertahanan lawan akan ditagih.

“Selangor merupakan salah satu pasukan hebat di Liga Malaysia dan saya amat teruja untuk memulakan karier bersama pasukan baharu pada musim depan.

“Namun sudah pasti ia bukan mudah di mana saya sentiasa memerlukan sokongan daripada rakan-rakan sepasukan dan saya percaya mereka mampu membantu Selangor untuk lebih berdaya saing nanti.

“Sudah pasti saya memiliki impian untuk membawa pasukan Selangor layak ke pentas Asia (2024) tetapi buat masa ini saya perlu fokus kepada pasukan kebangsaan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

 

ARTIKEL BERKAITAN : Mickey sah bersama Red Giants

Faisal, 24, telah menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika membantu skuad kendalian Kim Pan Gon mengutip kemenangan pertama ketika bertemu Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2022.

Harimau Malaya meneruskan kempen Piala AFF dengan menanti kunjungan pasukan Laos untuk aksi kedua Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.