Eksklusif oleh Mohd Fariq

Bagai sireh pulang ke gagang.

Itulah simpulan bahasa tepat untuk menggambarkan kepulangan Datuk Yunus Aliff ke dunia bola sepak tempatan selepas beliau telah dilantik sebagai jurulatih baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC.

Apa yang pasti, Yunus yang kali terakhir membuat penampilan dalam aksi domestik bersama Real Mulia FC pada 2015, mengakui beliau tidak menyangka akan kembali ke Liga Malaysia selepas lapan tahun berehat daripada industri bola sepak tempatan.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada PDRM FC yang sudi menawarkan kontrak bersama pasukan ini.

“Satu penghargaan kepada sama tetapi dalam masa yang sama, saya tidak menjanjikan bulan dan bintang. Saya memilih PDRM FC kerana saya tahu latar belakang pihak pengurusan dan pasukan ini memiliki sikap profesional tinggi.

“Sama ada saya akan teruskan atau sebaliknya pada musim depan, saya lebih berminat untuk fokus habiskan saingan Liga Super pada musim ini terlebih dahulu.

“PDRM beraksi di Liga Super dan untuk makluman, saya tidak pernah terlepas untuk menonton perlawanan liga pada musim ini termasuk aksi PDRM. Jadi serba sedikit saya tahu perkembangan Liga Malaysia,” katanya ekslusif kepada FLASH SUKAN.

 

Yunus bukanlah satu nama asing buat pengikut-pengikut Liga Malaysia apabila menjuarai liga bersama Pahang sebagai pemain pada 1987 dan Piala Malaysia pada tahun 1983.

Dalam dunia kejurulatihan pula, Yunus, 65, telah muncul sebagai jurulatih paling muda memenangi Liga Perdana (kini dikenali Liga Super) ketika berusia 37 tahun bersama Pahang pada tahun 1995.

Yunus juga telah berjaya mengakhiri penantian ketika bersama Terengganu apabila memenangi Piala FA pada tahun 2000 dan naib juara Piala FA tahun 1999.

Dalam tempoh ketiadaan beliau sebelum menerima tawaran daripada PDRM FC, Yunus mendedahkan masih terlibat dalam industri bola sepak secara belakang tabir.

Beliau menjadi panel jurulatih pembimbing di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi pemula jurulatih yang mengambil lesen Kelas B dan C selain membantu kelab junior bawah 12 dan bawah 17 kejohanan belia sebagai mentor kepada jurulatih di sana.

Namun Yunus yang sedang menantikan cucu keenam dalam tempoh terdekat, mengakui Liga Malaysia sedang mengalami perkembangan pesat di mana kebanyakan kelab-kelab kini telah serius untuk membangunkan pasukan selaras kehendak sains sukan agar dapat meningkatkan persembahan permainan.

Lebih tepat, Yunus menyedari cabaran Liga Malaysia sekarang adalah jauh lebih sukar dan mencabar jika dibandingkan senario kira-kira 10 tahun yang lalu.

“Saya tahu cabaran liga sekarang amat berbeza jika dibanding dahulu sebab sekarang rata-rata pasukan semakin maju apabila memiliki hampir 14-15 pegawai termasuk juruanalisis, juruteknikal dan sebagainya yang bertindak bekerja di belakang tabir jurulatih.

“Satu cabaran yang sukar bagi saya tetapi dalam masa yang masa saya sangat teruja untuk kembali beraksi dalam kancah bola sepak tempatan,” ujarnya.