PERJALANAN seorang anak Malaysia dalam mempromosi sukan sepak takraw di bumi Eropah, bukanlah satu perkara yang mudah.
Dengan hanya berlatar belakangkan sebagai pemain ‘biasa’, iaitu di bawah Majlis Kebajikan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) pada tahun 2002, Zolkefle Ayob atau lebih mesra dengan sapaan Joey, sama sekali tidak terfikir untuk berada pada tahap sekarang, apatah lagi beliau tidak pernah mewakili pasukan kebangsaan.
Namun, apabila peluang itu datang, Zolkefle tega menggalas tanggungjawab besar memperkenal sukan tradisi negara ini.
Status bukan pemain bertaraf bintang pada dirinya, sama sekali tidak boleh menafikan kewibawaan dan mematahkan semangatnya yang kini mencecah usia 61 tahun, untuk kekal membimbing skuad sepak takraw Perancis selama lebih daripada 10 tahun.
Zolkefle berkongsi kepada FLASH SUKAN bahawa perjalanannya bersama Perancis bermula ketika dia menyertai kelab sepak takraw Malaysia Airlines (EMAS) sejak tahun 2008.
Menurut Joey, EMAS adalah sebuah kelab yang aktif dalam mempromosikan arena sukan sepak takraw di negara-negara Eropah, serta mengambil peluang untuk berkempen dan bermain di sana.
Justeru, melalui perhubungan dan silaturrahim yang baik bersama ‘bos’ kelab EMAS iaitu Yaakob, Joey diberi kepercayaan membimbing kelab sepak takraw Perancis bermula tahun 2011, dan melakukan debut pada aksi sulung Piala Dunia tahun 2011 di Kuala Lumpur.
Karier yang tidak diduga itu, secara tidak langsung telah memberi satu kebanggaaan buat Malaysia, kerana adanya anak watan yang berjaya menerbangkan sukan sepak takraw ke bumi Eropah.
“Ya lebih 10 tahun saya sudah bersama Perancis, tetapi saya masih menetap di Kelana Jaya. Contoh, bulan Ogos difahamkan ada kejohanan, jadi mungkin dalam dua hingga tiga minggu saya akan ke sana untuk melakukan persiapan pasukan.
“Bagi saya, di sini sudah seperti keluarga. Bukan kerana saya mahukan publisiti dan sebagainya jadi saya kekal di sini. Tetapi saya dan Presiden Sepak Takraw Perancis, Patrick Laemmel memang akrab dan dianggap sebagai keluarga.
“Contohnya kalau ada perlawanan di sana, saya tidak akan diletakkan di hotel. Dia akan kata, “Tidak. Awak perlu menginap di rumah saya. Jadi di situ menunjukkan kami sangat rapat walaupun dengan isteri dia juga,” ujarnya ketika ditemui oleh FLASH SUKAN, di Stadium Titiwangsa.
Dalam perkembangan sama, Joey turut menggambarkan bahawa perkembangan sukan sepak takraw di Perancis dan Eropah kini kelihatan mendatar berbanding di Malaysia, namun tetap mendapat sambutan.
“Ramai pemain di sana. Saya pernah melakukan pemilihan pemain, mereka ada lebih kurang 30 pemain ketika itu. Tetapi, semua bukan pemain muda, majoritinya sudah bekerja dan berumur 30-an.
“Di sana tiada pembangunan, apabila ada orang yang minat, dia akan sertai. Mereka hanya tahu sepak takraw ini melalui Youtube dan kebanyakan yang sertai kita adalah dalam kalangan pemain bola sepak dan ‘foot bank‘,”katanya.
Terdahulu, Perancis berhaya menewaskan Pakistan dengan keputusan 15-6, 15-7 di Divisyen 1 Piala Dunia Sepak Takraw 2024. Joey menyifatkan bahawa perlawanan menentang Pakistan tidaklah begitu sengit kerana mereka mempunyai pasukan yang belum lagi lengkap sepenuhnya.