SKUAD Piala Thomas negara dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Hong Kong pada perlawanan pertama esok, namun tetap perlu berhati-hati, bagi mengelakkan kejutan berlaku sekali gus menyukarkan peluang ke suku akhir.
Pemain paling berpengalaman, Aaron Chia menganggap pertemuan dengan Hong Kong amat penting buat skuad negara dan tidak boleh keciciran mata.
“Pasukan Hong Kong… saya rasa mereka mempunyai beberapa pemain perseorangan yang baik tetapi kita tetap memiliki kelebihan berbanding mereka.
“Kemampuan perseorangan mereka boleh dikatakan seimbang 50-50 namun paling penting pasukan kita jauh lebih bersemangat dan saya rasa tiada masalah untuk mengatasi Hong Kong,” kata Aaron.
Begitupun, Aaron yang dijangka diturunkan bergandingan dengan Soh Wooi Yik menganggap perlawanan menentang Hong Kong sangat penting, kerana bakal menentukan ke mana hala tuju pasukan berikutnya.
“Kita sudah biasa dalam banyak acara berpasukan seperti di Sukan Asia, Sukan Sea, berpasukan campuran, yang paling penting bagi saya adalah komunikasi dalam pasukan.”
Mengulas lanjut, Aaron yang berada di ranking kelima dunia, mengakui Piala Thomas menjadi satu-satunya kejohanan besar yang belum dia dan pasangannya merasai nikmat menaiki podium dan mahu menjadikannya satu kenyataan.
“Sudah tentu kali ini saya nak dapatkan pingat, tidak kiralah apa warnanya,” ujar Aaron lagi.
Tidak mahu memandang rendah kemampuan rakan sepasukan, Aaron juga memilih skuad negara sebagai underdog untuk berdepan Denmark pada perlawanan terakhir kumpulan D.
“Di atas kertas memang Denmark agak kuat terutamanya dalam acara perseorangan, beregu pula tidak kurang hebatnya.
“Tapi kita underdog, hanya lakukan yang terbaik.”
Selepas menentang Hong Kong esok, skuad Piala Thomas akan berdepan Algeria pada Ahad dan melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan D menentang Denmark pada Selasa.
Untuk rekod, kali terakhir skuad negara menjulang trofi Piala Thomas adalah pada edisi 1992 dan kali terakhir beraksi di final, pada 2014.
Pada 2016 pula, pasukan negara terkandas di separuh akhir.