SELEPAS mengharungi lima kekalahan berturut-turut, The Bos Gaurus enggan lagi keciciran mata lagi menjelang aksi ke-16 Liga Super menentang Kelantan United FC di Ipoh pada Jumaat.
Menurut ketua jurulatih sementara Perak FC, Yusri Che Lah, terbit kerisauan dalam dirinya jika skuad kendaliannya tewas dalam dua perlawanan besar akan datang.
Perak dijadual bertemu Kelantan United minggu ini sebelum bertandang ke Kuching City, 16 Julai depan.
“Saingan akan lebih besar selepas kini. Dua perlawanan ini kita tak mahu tercicir mata lagi. Kita risau keyakinan pemain akan berterusan menurun.
“Saya harus lontarkan keyakinan kepada pemain agar mereka segera bangkit. Keyakinan harus disertakan sokongan peminat supaya pasukan dapat beri yang terbaik pada aksi 7 Julai ini berbanding dalam perlawanan yang lepas.
“Bola sepak adalah tekanan. Orang beli tiket nak menang dan kita akan bagi terbaik capai kemenangan. Macam mana kita nak menang, kita hendaklah bagi yang terbaik,” kata pengendali kelahiran Perlis itu.
ARTIKEL BERKAITAN : Perak FC sambar tonggak pertahanan Filipina Jesper Nyholm
Sedar tekanan kian memuncak, Yusri tetap menaruh kepercayaan penuh kepada barisan pemainnya, di tambah pula dengan kehadiran import baru, Jesper Nyholm yang ditandatangani kelab dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.
Selepas 15 perlawanan, Perak menghuni kedudukan ke-11 hasil dua kemenangan, tiga kali seri dan 10 kali tewas.