PENYOKONG bola sepak tempatan diingatkan agar mengelakkan penstriman haram perlawanan Liga Malaysia 2024-2025. Malaysian Football League (MFL) menegaskan bahawa semua perlawanan harus ditonton menerusi platform rasmi, seperti Astro dan RTM, demi menjaga hak penyiaran dan melindungi nilai komersial liga.

Menyaksikan perlawanan melalui platform media sosial atau laman web tidak rasmi telah melanggar Akta Hak Cipta, Seksyen 43AA.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Giorgio Pompili Rossi, menekankan bahawa usaha Astro dan RTM telah memberikan liputan menyeluruh perlu dihormati, dan sebarang promosi penstriman haram hanya akan merugikan kelab-kelab serta merosakkan perkembangan bola sepak tempatan.

“Kami di MFL amat mementingkan privasi kandungan perlawanan serta hak penyiaran rasmi.

“Astro dan RTM telah berusaha keras memberikan siaran terbaik untuk penyokong, dan aktiviti mempromosikan atau menonton melalui platform haram adalah sangat mengecewakan,” jelas Rossi.

Beliau juga menekankan bahawa hak penyiaran bukan sahaja memberi kepuasan tontonan kepada penyokong, tetapi juga menyumbang kepada pendapatan kelab-kelab bola sepak dalam Liga Malaysia.

Sebarang promosi atau galakan untuk menonton di laman web haram merosakkan nilai komersial liga dan menjejaskan kelab-kelab.

Terdahulu, Kelantan Darul Naim FC dikenakan denda RM5,000 serta amaran keras kerana mempromosikan penstriman langsung dari platform bukan penyiar rasmi di laman media sosial rasmi kelab pada 27 September 2024. Perbuatan itu jelas melanggar peraturan media yang termaktub dalam Manual Liga Malaysia 2024.

“Sekiranya kesalahan ini berulang, hukuman yang lebih berat akan dikenakan terhadap mana-mana kelab yang melanggar peraturan tersebut,” tambah Rossi.

MFL menyeru semua penyokong Liga Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada kelab-kelab kegemaran mereka dengan menonton perlawanan melalui platform yang sah, seperti Astro dan RTM, serta mengelakkan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti penstriman haram.

Dengan kerjasama semua pihak, MFL berharap situasi ini dapat dibendung demi masa depan sukan bola sepak negara.