TERJAWAB sudah teka teki siapakah yang bakal menjawat kerusi panas Ketua Jurulatih B-23 tahun kebangsaan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan E.Elavarasan sebagai pengganti Brad Maloney.
Elavarasan atau lebih mesra disapa Ela kini menjawat jawatan pembantu jurulatih skuad senior di bawah kendalian Kim Pan Gon dan akan memegang kedua-dua portfolio kejurulatihan ini.
Menerusi sidang media yang diumumkan oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnell di Wisma FAM Kelana Jaya pada Khamis, Elavarasan diperkenalkan kepada media bersama-sama barisan kejurulatihan yang lain.
Dia akan dibantu oleh Juan Torres Garrido sebagai penolong jurulatih, Kris Yong, jurulatih penjaga gol, Park Jihyeon sebagai jurulatih kecergasan dan Lee Jeyoon yang akan bertindak sebagai ketua analisis prestasi.
Jurulatih berusia 60 tahun ini bukanlah wajah asing dalam senario bola sepak tempatan apabila banyak mengendalikan pasukan dalam Liga Super dan Liga Premier dengan rekod yang baik.
Bekas pemain Selangor ini memulakan karier sebagai jurulatih pada 1994 bersama Public Bank dan meneruskan karier bersama Melaka, Felda United, Terengganu, PKNS, Melaka United, PDRM dan Sarawak United sebelum dilantik ke skuad senior kebangsaan.
Pengalaman luas yang ada pada dirinya termasuk layak ke final Piala FA 2016 dan hubungan yang baik dengan pemain adalah ciri utama yang menyebabkan dia terpilih sebagai pembantu jurulatih dan kini ketua jurulatih.
Elavarasan pada sidang media itu berkata dia berbangga dengan pemilihan ini. Saya berbangga dengan pemilihan ini dan berterima kasih atas kepercayaan ini.
“Saya berbangga dengan pemilihan ini. Ianya bukan tugas yang mudah. Terima kasih kepada Presiden FAM dan Kim Pan Gon kerana percaya kepada saya untuk menghasilkan pemain bagi masa depan.
“Ianya adalah tugas yang sukar sangat berbeza dengan pasukan senior. Tugasan kami adalah untuk mengenalpasti bakat kerana ianya penting untuk skuad kebangsaan dimana bakat-bakat baharu ini akan menjadi tunjang kepada pasukan kebangsaan,” jelas Elavarasan.
Skuad B-23 Tahun Kebangsaan akan mengikuti corak permainan skuad senior tetapi akan mempunyai rejim latihan yang lebih aggresif bagi melahirkan pemain yang lebih dinamik dan berani mengambil risiko.