PENGENDALI skuad B-23 tahun kebangsaan, E. Elavarasan berbangga dengan pencapaian pemainnya yang faham akan objektif yang dimahukan ketika menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia AFC B-23 2024.
Skuad muda negara berjaya layak ke Doha, Qatar tahun hadapan apabila muncul salah satu pasukan tempat kedua terbaik meskipun terpaksa menunggu sehingga saat terakhir selepas tewas kepada Thailand 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan H.
Susulan daripada itu, Elavarasan berharap agar kelab-kelab dapat melepaskan pemain secara berperingkat ketika tempoh ‘off season’ supaya mereka dapat menjalani latihan bersama bagi menghadapi kejohanan itu pada April 2024.
“Kejayaan layak ke peringkat akhir Piala Asia ini adalah justifikasi kepada usaha para pemain dan ianya akan memberikan semangat buat para pemain muda yang mempunyai cita-cita kerana untuk layak ke peringkat ini boleh dianggap sebagai sangat bagus dan sesuatu yang istimewa buat pemain-pemain ini.
“Kita akan adakan pra musim ketika penghujung musim dan memang pemain-pemain akan terlibat dengan kelab tapi kita akan minta pertolongan dari kelab untuk melepaskan pemain untuk menyertai kem latihan yang akan dilakukan secara berperingkat.
“Dengan latihan berperingkat ini kita akan dapat bentuk sebuah pasukan yang ampuh seperti yang kita buat sebelum ini kerana kita tiada masa untuk buat latihan kecuali waktu kalendar FIFA,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Bangkok.
Pembantu jurulatih skuad senior kebangsaan itu juga tidak mempunyai masalah dengan kritikan yang diterima kerana dia percaya dengan proses pembentukan pasukan dan dia yakin dengan kemampuan pasukannya.
“Saya tidak ada masalah dengan kritikan kerana seperti yang saya katakan semua ini adalah proses dan untuk membina pasukan ianya perlukan masa dan apa yang penting kita mempunyai pemain yang layak untuk bermain di Piala Asia,” jelasnya.
Malaysia layak ke Piala Asia B-23 bersama tiga lagi pasukan Asia Tenggara — Vietnam, Thailand dan Indonesia tetapi muncul pasukan tunggal yang layak tanpa bergelar tuan rumah dan ini adalah kekuatan mental yang bagus yang ada pada para pemain.