WALAUPUN ‘bungkus’ awal daripada saingan bola sepak Sukan SEA 2023, terdapat elemen positif dapat dikongsi oleh E Elavarasan.
Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya B-22 itu tetap gembira persembahan para pemain mudanya, serta menilai DNA daripada skuad kebangsaan boleh dicapai pada masa akan datang.
Malah, pemain sedia ada di bawah kendaliannya boleh dinaikkan pangkat beraksi bersama skuad senior.
“Kita selalu positif dan meletakkan yang harapan tinggi. Persembahan pemain kita kian meningkat dan lebih baik. Paling penting pemain dah bagi 100 peratus aksi atas padang.
“Kita main bagus, bukan tak main bagus. Anda (media) pun dah tahu apa sebab-sebab kita alami kekalahan (kepada Vietnam),” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Price, Phnom Penh di sini.
Dua layangan kad merah kontroversi ke atas Safwan Mazlan dan Najmudin Akmal memaksa Malaysia bermain dengan sembilan pemain sahaja di penghujung babak kedua.
Mengulas mengenai permainan sepanjang 90 minit, Ela akur dan menerima segala keputusan dengan hati yang terbuka walaupun jutaan peminat di tanah air pasti bermuram kegagalan edisi kali ini.
“Kadang-kadang kita kena terima. Kita main bagus dan dapat skor bila dapat peluang. Daripada standard yang kita tunjuk tadi, kita patut ada di sana (separuh akhir). Dalam keadaan ini kita perlu terima. Inilah bola sepak,” katanya.
Mengenai kekalahan pasukannya, Elavarasan menilai keadaan padang Stadium Visakha sangat teruk kerana hujan lebat yang turun pada sebelah petang dan sepanjang permainan.
“Vietnam bermain dengan baik tetapi cuaca hari ini menjadikan padang sangat teruk, sukar untuk bermain bola sepak,” katanya.
Kini, tiada apa yang boleh dibanggakan lagi penyertaan skuad negara selepas dipaksa pulang awal, selain hanya menanti aksi pelengkap jadual Kumpulan B bertemu musuh tradisi, Singapura pada Khamis ini.
Biarpun kemenangan itu tidak memberikan sebarang erti namun demi maruah, Ela dan anak buahnya sedia memburu tiga mata sebelum terbang pulang ke Kuala Lumpur.