KETUA Jurulatih skuad B-23 negara yang baharu, E.Elavarasan menyambut baik pengstrukturan semula liga dan perlaksanaan Liga Simpanan yang dilakukan oleh Malaysia Football League (MFL) kerana ia akan menjadi medan terbaik untuk memilih pemain mewakili skuad kebangsaan.
Ela yang diumumkan sebagai jurulatih B-23 tahun pada satu majlis di Wisma FAM pada Khamis mempunyai tugas yang sukar iaitu untuk menyediakan pemain kepada jurulatih skuad senior kebangsaan, Kim Pan Gon.
Jurulatih berusia 60 tahun ini turut mengakui tugas berat menantinya dan berharap untuk mendapat kerjasama daripada semua kelab untuk melepaskan pemain yang akan dipanggil kelak bagi menjayakan perancangan yang telah diatur untuk skuad B-23.
📸 Sekitar sesi sidang media pengumuman penolong ketua jurulatih kebangsaan, E. Elavarasan sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan yang baharu di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi.
Lagi gambar di https://t.co/VzDryO2qgu#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/MYznYi88wy
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 1, 2022
“Dengan wujudnya Liga Simpanan pada musim depan ia pasti akan memberi kelebihan kerana kita akan dapat cari lebih banyak bakat untuk untuk diserap ke skuad B-23. Saya juga yakin kesemua kelab turut teruja dengan penstrukturan liga musim depan.
“Kita membawa pakar dari Eropah dan Korea Selatan untuk membina pasukan ini. Kami berbincang dan telah mempunyai cadangan dan kami perlukan kerjasama daripada kelab untuk melepaskan pemain bagi memastikan kami dapat membina sebuah skuad yang mantap,” katanya kepada media.
Sementara itu, Elavarasan tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 atas sebab realistik dengan kedudukan ranking negara ketika ini.
“Ranking Malaysia kini adalah di tangga ke-26 Asia dan slot yang diberikan ada tiga sahaja. Ianya sukar tetapi kami akan lakukan yang terbaik dan akan memastikan para pemain dapat memberikan segalanya buat pasukan ini,” ujarnya lagi.
Selain Elavarasan, FAM turut mengumumkan perlantikan Juan Torres Garrido dari Sepanyol sebagai penolong jurulatih, Kris Yong, jurulatih penjaga gol dan dua jurulatih dari Korea Selatan, Park Jihyeon sebagai jurulatih kecergasan dan Lee Jeyoon sebagai jurulatih analisis prestasi.
Mereka akan mempersiapkan pasukan menghadapi beberapa kejohanan utama tahun depan termasuk Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja pada Mei 2023, Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada September 2023 serta Kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang juga Kelayakan Olimpik 2024.