PENGENDALI skuad bawah (B-22) tahun kebangsaan E.Elavarasan mengakui komitmen yang tinggi dalam pasukan oleh para pemain menjadi salah satu faktor kemenangan skuad kendaliannya.

Pasukan muda kebangsaan berjaya muncul juara Piala Merlion 2023 selepas menewaskan Hong Kong 2-1 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Jalan Besar Singapura pada Ahad.

Dia juga turut memuji kesungguhan yang ditunjukkan anak-anak buahnya dan berharap mereka dapat mengekalkan rentak permainan yang sama dan kekal cergas untuk dipanggil ke kem latihan Sukan Sea.

“Pertama sekali saya perlu ucapkan tahniah kepada pengurus pasukan, Datuk Posa Majais dan juga Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang banyak memberikan sokongan kepada skuad ini.

“Paling penting adalah pemain berikan yang terbaik serta menunjukkan komitmen yang tinggi dalam pasukan dan menjadi satu faktor kemenangan kita.

“Saya melakukan pertukaran kerana mempunyai pemain yang tersedia. Semua pemain dapat ikut apa yang kita mahukan. Kini para pemain akan kembali ke kelab masing-masing dan harap mereka semua cergas apabila dipanggil untuk kem ke Sukan Sea,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan di Singapura.

Elavarasan juga menyatakan dia sudah mendapat bayangan skuad terbaik yang bakal dipilih untuk menghadapi Sukan Sea dengan selepas berjaya mencapai sasaran awal menjuarai Piala Merlion ini.

“Ini adalah satu kejohanan yang kita sasarkan untuk jadi juara. Sudah tentu 80 hingga 90 peratus kita dah boleh nampak bayangan kerana pemain mampu bermain dalam liga yang tinggi kerana sasaran kita yang tinggi di Sukan Sea dan berharap pemain konsisten dapat kekalkan corak permainan seperti ini,” tambahnya.

Malaysia mempamerkan karakter yang cukup baik dalam dua perlawanan di Singapura dengan bangkit menewaskan Kemboja 4-2 untuk ke final sebelum mendominasi aksi final untuk muncul juara sekali gus memberikan semangat bagi menghadapi temasya Sukan Sea pada Mei depan.