ATLET muda Sarawak, Elvis Priestley, yang pernah mencuri perhatian ramai dalam penampilan luar biasanya di Sukan Malaysia (Sukma) 2024, berkongsi kisah kariernya sebagai atlet terjun negara.
Atlet berusia 18 tahun ini bukan sahaja merangkul pingat emas, tetapi terjunannya yang tular di media sosial juga menarik perhatian ramai, dengan percikan air yang dihasilkannya disamakan dengan penerjun China.
Mengenang kembali pengalaman pertamanya bertanding di luar negara, Elvis mendedahkan bahawa dia pernah menyertai Kejohanan World Junior di Kanada pada usia 16 tahun.
Bertanding dalam acara individu dan sinkron 10 meter bersama pasangannya, Jared Aiden, walaupun tidak membawa pulang sebarang pingat pengalaman itu amat berharga buatnya.
Setiap sukan ada cabarannya, dan bagi Elvis, terjunan yang paling mencabar baginya adalah backflip dan inward backflip tiga setengah kali pusingan. Namun, terjunan kegemarannya adalah twist, yang biasa dilakukannya semasa giliran kelima.
“Yang paling susah saya buat adalah backflip dengan inward backflip 3 setengah kali pusingan, manakala terjunan kegemaran saya pula adalah twist yang kebiasaannya dilakukan semasa dive kelima,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
Ketika saingan di Sukma baru-baru ini, Elvis mencatat markah tertinggi dalam sejarah pribadinya bagi acara 3 meter papan anjal, dengan catatan 82.50 mata dan jumlah keseluruhan 415.15 mata.
ia merupakan pencapaian besar yang melonjakkan namanya dalam kalangan peminat sukan terjun di tanah air.
Tambah Elvis, sebelum memulakan pertandingan, dia akan memastikan dirinya dalam keadaan tenang dan fokus sepenuhnya.
“Sebelum pertandingan, saya akan memastikan diri saya tenang dan saya juga sering berbincang dengan jurulatih mengenai persiapan yang perlu dilakukan,” jelasnya.
Kini, Elvis sedang bersiap sedia untuk Kejohanan World Junior di Brazil pada November nanti. Dia menaruh harapan tinggi untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat dalam kejohanan tersebut.
“Impian saya adalah untuk membawa pulang satu pingat, tidak kisah apa jenisnya, asalkan saya berjaya membawanya pulang,” katanya.
Elvis juga mengakui bahawa idolanya dalam sukan terjun ialah Datuk Pandelela Rinong, yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat Olimpik dengan memenangi pingat gangsa dan perak.
“Idola saya adalah Datuk Pandelela kerana dia pernah bermain di Olimpik dan meraih pingat,” ujarnya.
Sebelum mengakhiri bual bicara, Elvis sempat menitipkan nasihat kepada atlet melangkah ke dalam pasukan kebangsaan, agar bersabar dan menghadapi cabaran yang menanti.
“Nasihat saya kepada mereka yang baru memasuki pasukan kebangsaan, bertahanlah sedikit, kerana walaupun lima tahun itu nampak lama, sebenarnya ia terasa sangat singkat dan kepada atlet baru, perlu semangat dan jangan malas untuk berlatih,” pesannya.