BERLUMBA di final keirin dengan tujuh pelumba, amat jarang berlaku dan situasi itu amat membimbangkan jaguh berbasikal trek negara sebelum perlumbaan bermula, namun penyudahnya cukup sensasi, apabila pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu memenangi pingat emas keduanya di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023, dalam aksi dramatik di Veledrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Meraih kejuaraan berganda dengan meraih pingat emas dalam acara kegemarannya, keirin selepas muncul juara pecut, legasi yang dicipta Azizulhasni di kejohanan ini amat sukar digugat selepas kemenangan itu membolehkannya mengumpul koleksi 12 pingat emas keseluruhan sejak kali pertama memenanginya pada 2007.

Puas… kembali merakam kejuaraan berganda, mengulangi pencapaian 2008, apabila Datuk Azizulhasni Awang memenangi pingat emas acara pecut dan keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC).

“Sebelum final bermula, saya memang bimbang dengan permulaan 7 pelumba dan kebimbangan saya menjadi nyata, saya mendapat undian permulaan di posisi terakhir.. saya macam Ya Allah… not a good start tapi saya berdoa supaya Allah permudahkan,” kata Azizulhasni.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, The Pocket Rocketman ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila kembali meraih emas selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2015 di Nakhon Ratchasima, Thailand.

Pelumba berusia 35 tahun mengenepikan pencabar utama dari Jepun, Shinji Nakano yang meraih perak dan lebih bermakna, rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut menaiki podium biarpun terbabit dalam satu kemalangan di separuh akhir.

Berkongsi detik gembira.. Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak dapat menyembunyikan rasa terharu, bersama-sama menaiki podium selepas mengharungi pelbagai dugaan.

“Sebelum motorbike keluar, saya dah mula memotong dan mengawal perlumbaan dari awal, guna tenaga awal. Saya cuma kekalkan kelajuan. Selepas itu pelumba lain mula melakukan serangan tetapi saya tetap sabar dan tunggu masa sesuai. Dalam baki satu pusingan, saya tak boleh tunggu lagi kerana tahu Jepun kuat.

“Saya terus pergi sepenuh tenaga, bila dia (pelumba Jepun) berada bersebelahan, saya dalam dunia sendiri dan mengerah sepenuh tenaga… di selekoh terakhir, saya di depan dan apa yang saya tahu, nak menang saja,” cerita Azizulhasni kepada media selepas perlumbaan keirin itu.

Menurutnya, ‘kegilaan’ penonton bersorak memberi sokongan membuatkan dia ‘menggila’.

“Syukur, ACC terakhir saya, prestasi terbaik, dua pingat emas. Saya ingat, sebelum ini pernah juga raih dua emas. ACC bukan mudah sekarang ini, kerana saingan di Asia sudah berkelas dunia.”

Sebaik motor pacer keluar, Datuk Azizulhasni Awang memulakan asakan dan memimpin perlumbaan hingga ke penamat.

Datuk Azizulhasni Awang memeluk isterinya, selepas memenangi perlumbaan keirin ACC 2023.

Sebaik perlumbaan tamat, Azizulhasni yang dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ berpelukan dengan Shah Firdaus selain turut menggelarkan pelumba berusia 27 tahun itu dengan gelaran ‘Shah the terminator Firdaus’.

“Shah ‘terminator’. Menda (kemalangan) itu berlaku depan saya, dia jatuh dan terpelanting kepalanya terhantuk pada dinding dekat penonton… dia bangun, cuba duduk atas pelana yang sudah tiada, dia terduduk atas batang gentian fiber itu, tempat duduk yang sudah patah. Saya tengok dekat badan dia ada serpihan kayu dan karbon fiber tertusuk di bahagian dalam seluar.

“Sukar dipercaya, semangat dia memang di tahap berlainan dan cuba untuk kayuh lagi. Kalau dia berputus asa, tak mungkin ada di final. Sama seperti semangat saya tunjukkan pada 2011, semangat juang sebegitu patut ada dalam diri atlet. Dia memang ‘the terminator’,” kata Azizulhasni.