PENGURUS Aston Villa, Unai Emery tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila pasukannya tewas mengejut kepada kelab Divisyen 2, Stevenage dalam aksi Pusingan Ketiga Piala FA Inggeris pada Ahad.

Dia juga meminta maaf kepada para penyokong selepas apa yang berlaku dan mahukan semua penyokong kekal di belakang kelab meskipun keputusan tidak memihak mereka ketika ini.

Gol jaringan Morgan Sanson pada separuh masa pertama dilihat bakal memberikan kemenangan kepada Villa namun pasukan pelawat bangkit secara dramatik dengan dua gol pada minit-minit akhir permainan.

 

Leander Dendoncker dilayangkan kad merah yang menghadiahkan penalti kepada lawan yang dijaringkan Jamie Reid pada minit ke-88 sebelum pemain gantian, Dean Campbell menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk memberikan kemenangan kepada pasukan bimbingan Steve Evans.

“Saya sangat kecewa dan meminta maaf kepada para penyokong kerana ini adalah peluang untuk kami melakukan sesuatu. Sasaran kami adalah mencipta kemenangan dan selepas ini saya akan tuntut pemain untuk memberikan lebih kepada kelab ini.

Dean Campbell meraikan gol kemenangan Stevenage ke atas Aston Villa 

“Hari ini kami tewas dan sangat kecewa. Ini terjadi apabila anda mempunyai peluang tetapi anda tidak menjaringkan gol. Kami tidak klinikal dan ini bukan kesilapan taktikal kerana kami tidak sepenuhnya fokus dalam 90 minit,” katanya.

Aston Villa kini akan kembali fokus kepada aksi seterusnya untuk bertemu Leeds United dalam aksi Liga Perdana Inggeris untuk memperbaiki kedudukan mereka yang ketika ini di tangga ke-11 dengan 22 mata dari 18 perlawanan.